Liga M: SOP ikut acuan Malaysia

Iklan
Saingan Liga-M ditangguhkan sejak 16 Mac lalu akibat pandemik Covid-19. Foto: Terengganu Football Club

Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) merancang menggunakan modul prosedur operasi standard (SOP) sendiri bagi meneruskan baki saingan Liga Malaysia (Liga-M) yang dijangka bersambung pada September depan.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan berkata, SOP acuan Malaysia itu bukan hanya akan memberikan keutamaan kepada semua pihak dalam industri bola sepak di negara ini tetapi juga menekankan aspek keselamatan dan kesihatan persekitaran sebagai perkara utama.

Iklan
Iklan

Menurut Abd Ghani, secara keseluruhannya SOP berkenaan bakal mengambil kira kesesuaian dan persekitaran semasa yang berlaku di dalam negara.

"Bila kita bercakap pasal SOP ini, semua negara sama sahaja kerana masalah yang sama dihadapi oleh semua pada hari ini.

Iklan

"Antaranya tidak dibenarkan berlakunya body contact, meraikan jaringan dengan cara berbeza dan sebagainya.

"Jadi SOP itu seakan sama, cuma kita akan mengambil yang terbaik demi menjaga keselamatan pemain dan juga sukan bola sepak itu sendiri,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Iklan

Ab Ghani berkata demikian ketika mengulas perkembangan terkini saingan Liga-M selepas beberapa liga utama seperti Bundesliga (Liga Jerman) dan Liga-K (Liga Korea Selatan yang kembali bersambung baru-baru ini selepas penangguhan akibat pandemik Covid-19.

Saingan Liga-M ditangguhkan sejak 16 Mac lalu dijangka akan memulakan sepak mula pada September depan sekiranya mendapat kelulusan kerajaan.

Sementara itu, Ab Ghani berkata, pihaknya sedang membuat persiapan berhubung SOP yang akan dibentangkan kepada pihak Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada Jun ini.

Katanya, seperti sebelum ini SOP berkenaan juga akan dikemukakan melalui Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

"Mungkin menjelang September nanti akan ada perubahan disebabkan keadaan semasa. Itu kita tak tahu lagi.

"Dalam tempoh dua bulan akan datang ini mungkin ada kelonggaran dan sebagainya. Namun, ia terpulanglah kepada Kementerian Kesihatan dan MKN untuk membuat keputusan,” katanya.