Kerajaan Pahang bantu balu Allahyarham Irwan

Iklan
Shahaniza (kiri) menyampaikan sumbangan kerajaan Pahang kepada Sakiah iaitu ibu mangsa kemalangan maut yang dirempuh kereta pemandu mabuk di Jalan Pintasan Kuantan Selasa lalu.

KUANTAN - Kerajaan Pahang bersedia membantu meringankan beban keluarga Allahyarham Irwan Herman Kamarudin yang meninggal dunia akibat dilanggar seorang pemandu mabuk, termasuk memberikan bantuan pendidikan terhadap anak-anaknya.

Exco Kebudayaan, Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin berkata, pihaknya juga akan berusaha membantu balu Allahyarham, Zeti Haryanti Hassan, 42, bagi memastikan keluarga berkenaan dapat meneruskan kelangsungan hidup.

Iklan
Iklan

"Yayasan Pahang telah menawarkan bantuan persekolahan kepada anaknya dan balu Allahyarham juga berbakat dalam bidang pereka grafik dan hanya bekerja dari rumah.

"Insya-ALLAH, kita akan cuba bantu balu ini meneruskan kerjaya beliau sebagai pereka grafik,” katanya semalam.

Iklan

Terdahulu, Irwan Herman, 41, maut dalam perjalanan ke tempat kerja di Gebeng selepas keretanya dilanggar sebuah kereta dipandu melawan arus oleh seorang peraih ikan yang disyaki berada di bawah pengaruh alkohol pada 9.20 malam Isnin lepas, di Jalan Pintasan Kuantan di sini.

Allahyarham yang menetap di Sungai Isap Perdana, di sini, bekerja sebagai penyelia Alam Flora Sdn Bhd meninggalkan dua orang anak iaitu Puteri Nur Qistina, 14, dan Amanda Nur Fitrisya, lapan tahun.

Iklan

Sementara itu, Zeti Haryanti berharap tindakan sewajarnya dikenakan terhadap pemandu mabuk terbabit selain memberi pengajaran kepada pemandu lain.

"Saya meminta agar saksi pada malam kejadian turut tampil bagi membantu siasatan kes tersebut di bawah Seksyen 44 (1) (b) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Ibu kepada Allahyarham, Sakiah Mohd Noor, 58, berkata, anak sulung kepada empat beradik itu merupakan seorang anak yang sangat bertanggungjawab terhadap keluarga.

"Dia sangat baik dari kecil sehingga dewasa tidak pernah bercakap kasar dengan saya dan adik beradik,” katanya.