Bas HoHo beroperasi di Ipoh bulan depan

Iklan
Tan Kar Hing
IPOH - Perkhidmatan bas pelancongan berkonsep bumbung terbuka atau Hop-On Hop-Off (HoHo) akan diperkenalkan di Perak, Disember ini.

Exco Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Tan Kar Hing berkata, kedudukan itu menjadikan Perak negeri ketiga selepas Kuala Lumpur dan Pulau Pinang menggunakan kemudahan bas bagi tujuan tarikan pelancong.

Menurutnya, secara dasarnya kerajaan negeri meluluskan cadangan tersebut dan pihaknya kini dalam peringkat perincian beberapa aspek termasuklah harga tambang, laluan perjalanan dan infrastruktur.

"Bagi fasa pertama, kita akan tempatkan bas ini di Ipoh dahulu, lapan laluan telah dikenal pasti antaranya Stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM) Ipoh, Sekolah Menengah Kebangsaan St Michael Ipoh, bangunan Octagon, Pasaraya Ipoh Parade, Little India dan Masjid Dato Panglima Kinta.

"Bagaimanapun, laluan ini mungkin ditambah selepas kita lihat operasinya nanti dan kelulusan diberikan pihak berkuasa tempatan serta Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat,” katanya ketika ditemui di Bengkel Kesedaran Pelancongan di Akademi GIT di sini, hari ini.

Kar Hing berkata, perkhidmatan bas itu bukanlah tarikan tunggal semata-mata, sebaliknya kerajaan negeri akan bekerjasama dengan beberapa pihak menempatkan kemudahan lain di laluan terlibat seperti pemandu pelancong untuk membawa pengunjung ke lokasi menarik.

"Selain memberi faedah kepada komuniti lain, penyediaan bas HoHo itu juga dapat mengurangkan jumlah kemasukan kenderaan ke Ipoh yang menyebabkan laluan sesak.

"Untuk permulaan, kita cadangkan bas HoHo beroperasi pada setiap Sabtu dan Ahad bermula jam 8 pagi hingga 5 petang, lain-lain perincian mengenai perkhidmatan ini akan saya umumkan seawal minggu depan,” katanya.