SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad digesa untuk menghentikan drama politik dengan memberi ruang kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) berkhidmat untuk rakyat.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Razlan Rafii berkata, Dr Mahathir harus peka terhadap nasib rakyat di negara ini yang kini berada di dalam ketidaktentuan pendapatan.
Menurutnya, ketika negara dilanda pandemik koronavirus (Covid-19), ketidakstabilan ekonomi, kejatuhan harga minyak serta kes pengangguran yang semakin meningkat, kerajaan harus terus fokus menyelamat serta memperbaiki keadaan ekonomi negara.
"Kerajaan Tan Sri Muhyiddin Yassin sedang berusaha membantu rakyat dan juga menangani wabak Covid–19, maka biarlah kerajaan yang ada berkhidmat untuk rakyat.
"Sebelum ini, Dr Mahathir pernah berkata bahawa beliau sayang akan negara ini dan mahu lihat negara ini stabil dari segi ekonomi dan politik, maka inilah masa dan ketikanya Dr Mahathir duduk diam-diam dan bantu kerajaan sedia ada," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd Razlan mendakwa, rakyat sedar Dr Mahathir cuba mewujudkan keadaan kucar-kacir dan melaga-lagakan semua lawannya dan akhirnya beliau akan mendapat keuntungan tersebut.
"Disebabkan keadaan politik yang tidak keruan dan akhirnya akan menyebabkan ekonomi negara kembali merudum dan malah boleh jadi lebih teruk. Perkara ini sudah tentu tidak menguntungkan rakyat dan pelaburan asing," katanya.
Katanya lagi, meskipun berlaku peralihan sokongan empat hingga lima orang ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kepada pasukan Dr Mahathir, ia tidak menjamin Dr Mahathir diangkat sekali lagi sebagai Perdana Menteri.
"Beliau (Dr Mahathir) harus sedar bahawa selepas tersebarnya klip audio mesyuarat Bersatu di mana Dr Mathir dengan jelas mengatakan bahawa beliau tidak suka Anwar Ibrahim dan DAP.
"Itu adalah isyarat jelas Dr Mahathir tidak ikhlas bersama-sama PKR dan DAP," katanya.