'Sakit mata lihat sampah sana sini'

Iklan
Hazmi mengutip sampah sempena ulang tahun kelahirannya.

BANGI - Seorang remaja meraikan ulang tahun kelahiran dengan cara berbeza apabila melakukan kerja amal mengutip sampah di tepi jalan sekitar Bangi dan beberapa lokasi lain.

Hazmi Nabil Mahmad Faisal, menyambut kelahiran pada 23 Mei lalu sempena usia 18 tahun dan dia memperuntukkan selama 23 hari untuk mengutip sampah di tiga lokasi bermula di Bangi, Kajang dan akan datang di Balakong sehingga 15 Jun.

Iklan
Iklan

"Saya memang pantang melihat sampah dibuang merata-rata, sakit mata lihat sampah sana sini. Jadi tahun ini, saya sambut hari lahir dengan cara berbeza, menyumbang tenaga memelihara alam semula jadi selain menabur bakti kepada negara," katanya.

Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru Bangi itu berkata, hari ini sudah memasuki hari ketujuh dia melakukan aktiviti itu bersendirian.

Iklan

"Buat masa ini, sebanyak 11 beg plastik yang penuh dengan sampah saya berjaya kumpul. Saya berharap dapat capai sasaran pada hari terakhir antara 60 dan 70 beg plastik.

"Pelbagai jenis sampah saya jumpa termasuk plastik dan paling 'rare' ada juga orang sanggup buang almari, telefon di tepi jalan," katanya.

Hazmi temui telefon bimbit semasa mengutip sampah sekitar Bangi.

Iklan

Dalam pada itu, Hazmi Nabil berkata, usahanya itu turut mendapat sokongan ibu bapanya yang berharap kerja murni itu tidak terhenti begitu sahaja sebaliknya diteruskan.

"Ibu ayah saya sangat bersetuju dengan apa yang saya buat kerana ia mengajar saya supaya memberi bukannya mendapat. Lagipun ia mengajar saya supaya tetap merendah diri dan bersyukur.

"Saya juga berasa sangat puas apabila melihat kawasan yang saya kunjungi itu menjadi bersih dan gembira apabila mendapat tahu ada yang mendapat inspirasi untuk mengutip sampah di kawasan mereka," katanya.

Remaja itu turut menasihatkan masyarakat terus memelihara alam sekitar kerana tindakan membuang sampah merata-rata mendatangkan mudarat.

Paparan Twitter Hazmi menarik perhatian ramai.

"Lagipun sampah merata-rata membuatkan imej negara kita tercalar. Saya berharap sangat supaya masyarakat dapat tolong buang sikap seperti ini," ujarnya.

Terdahulu, Twitter Hazmi Nabil mendapat perhatian ramai selepas berkongsi aktiviti kebajikan itu, malah menerima respon positif daripada netizen.