SHAH ALAM - Keputusan kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan pandemik Covid-19 sejak 18 Mac lalu tidak menghalang KDEB Waste Management (KDEBWM) terus memberikan perkhidmatan terbaik dalam memastikan urusan kutipan sisa pepejal tidak tergendala demi kesejahteraan rakyat di Selangor.
Pengarah Urusannya, Ramli Mohd Tahir berkata, KDEBWM sebagai anak syarikat kerajaan Selangor kekal memberikan perkhidmatan selama 365 hari setahun di 12 kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini apabila khidmat mereka tergolong dalam perkhidmatan penting (essential service).
Menurutnya, sejak pelaksanaan PKP trend kutipan sampah domestik dilihat menurun sehingga 20 peratus berbanding anggaran purata antara 6,200 hingga 7,000 tan sehari sebelum ini.
"Berdasarkan data yang kita peroleh daripada pusat pelupusan sampah, kutipan berkuraSngan sebanyak tujuh peratus pada minggu pertama manakala minggu kedua pula turun sehingga 14.8 peratus dan kekal sebanyak 24 peratus minggu berikutnya.
"Penurunan ini disebabkan jumlah kutipan sampah di kawasan komersial berkurangan kerana premis perniagaan tidak dapat beroperasi, bagaimanapun berlaku sedikit peningkatan di kawasan kediaman antara 10 sehingga 15 peratus apabila pengguna banyak menghabiskan masa di rumah.
"Apa yang kita lihat, jumlah kutipan sampah ini masih menurun berbanding tahun lepas kerana sebelum ini banyak berlaku pembaziran makanan terutamanya di bazar-bazar Ramadan, pasar pagi, pasar malam dan sebagainya,” katanya kepada Sinar Harian di sini.
Katanya, selepas kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pada 4 Mei lalu dan sambutan Aidilfitri baru-baru ini, jumlah kutipan sampah domestik sedikit meningkat tetapi masih kekal dengan trend menurun pada tahap 20 peratus sehingga kini.
Ramli berkata, sepanjang tempoh PKP, pihaknya telah menggerakkan lebih 8,000 pekerja di kesemua 12 pusat operasi dengan menggunakan 1,000 lori mengangkut sampah berkapasiti 18 tan, 17.5 dan 17 tan yang dilengkapi dengan Sistem Pemantauan Kenderaan (VMS).
"Selain pengesanan VMS, lori-lori ini juga turut dilengkapi dengan kamera litar tertutup (CCTV) bagi memudahkan mengesan pergerakan dan menjaga keselamatan pekerja yang akan di pantau menerusi ‘Centralized Command Centre’ (CCC).
"Kemudahan ini juga turut membantu CCC menangani aduan dan menyelesaikannya dalam kadar segera, di mana setiap aduan yang dikemukakan sebelum jam 12 tengah hari akan diselesaikan pada hari yang sama,” katanya.
Cabaran
Menyentuh mengenai cabaran yang dilalui pekerja KDEBWM dalam melaksanakan rutin harian mereka ketika PKP, Ramli berkata, pada awalnya ada dalam kalangan pekerja yang melahirkan kebimbangan dijangkiti wabak Covid-19 ketika menjalankan tugas.
Bagaimanapun, katanya, pihak syarikat memberikan penerangan kepada pekerja berhubung garis panduan yang perlu dilakukan selain mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) khusus ketika melakukan kerja-kerja kutipan sampah ketika negara berdepan pandemik ini.
"Pekerja-pekerja turut dibekalkan topeng muka, sarung tangan dan cecair pembasmi kuman selain memastikan mereka sentiasa menjaga penjarakan sosial ketika bekerja.
"Ada dalam kalangan pekerja-pekerja kita juga perlu memakai sut perlindungan peribadi (PPE) ketika mereka melakukan kerja-kerja kutipan sampah di zon merah termasuk di Maahad Tahfiz di Sungai Lui, Hulu Langat.
"Selain itu, mereka juga melakukan kerja-kerja sanitasi kawasan-kawasan awam di Hulu Langat, Subang Jaya dan juga Petaling Jaya,” katanya.
Menurutnya, cabaran utama sepanjang PKP dalam melaksanakan kerja-kerja yang disifatkan sebagai 3D iaitu Danger, Dirty dan Difficult (Bahaya, Kotor, Sukar) itu sebenarnya datang daripada halangan kenderaan terutamanya di kawasan-kawasan perumahan.
Katanya, sepanjang PKP jumlah pertambahan kenderaan di kawasan perumahan bertambah kerana mereka tidak boleh keluar untuk bekerja, selain tempat parkir juga berkurangan menyebabkan berlakunya halangan di kebuk sampah sehingga menyukarkan lori untuk mengutip sampah.
"Bagaimanapun pekerja-pekerja kita sentiasa berusaha untuk memastikan sampah-sampah dibuang dapat dikutip mengikut jadual walaupun terpaksa mengambil masa yang lama di satu-satu kawasan.
"Begitu juga di kawasan-kawasan yang dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PPKD) apabila lori-lori kami tidak dibenarkan masuk sehingga memaksa pekerja melakukan tugas mereka dengan mengutip secara manual dari kebuk sampah selain lebih berhati-hati,” katanya.
Sementara itu, Ramli turut mengingatkan masyarakat di Selangor menanam kesedaran bahawa sampah di luar seperti di kawasan taman permainan dan kawasan pejabat adalah sampah kita kerana ia berpunca daripada kita sendiri.
Katanya, apa yang perlu dilakukan masyarakat di negeri ini adalah mengikat sampah dengan baik dan letakkan di kebuk sampah atau di hadapan kediaman masing-masing sebelum dikutip pekerja KDEBWM.
"Jadi kita mahu masyarakat tidak lagi berfikir bahawa sampah boleh di buang di mana-mana sahaja kecuali di kawasan kediaman mereka kerana ingin memastikan kawasan rumah mereka sentiasa bersih.
"Kita mohon masyarakat di Selangor bersama-sama membantu mengurangkan penjanaan sampah dan jika berkemampuan mereka boleh mengamalkan kitar semula dengan menyediakan tong sampah yang berasingan,” katanya.
Pencapaian KDEB Waste Management sepanjang 2016 - 2020
1. 2018 Malaysia Smart Waste Solutions Company of the Year oleh firma Perunding Antarabangsa Frost & Sullivan
2. 2019 Malaysia Smart Waste Solutions Company of the Year oleh firma Perunding Antarabangsa Frost & Sullivan
3. 2019 The Brandlaureate Prominent Business Bestbrands Award for Services in Waste Management oleh The BrandLaureate
4. 2019 Recipient of Green Initiative Award oleh Waste Management Association of Malaysia
5. Pensijilan ISO 9001:2015 bagi Pengurusan Kualiti
6. Pensijilan ISO 14001:2015 bagi Pengurusan Alam Sekitar
7. 2020 Malaysia Smart Waste Solutions Company of the Year oleh Firma Perundingan Antarabangsa Frost & Sullivan