PEMAIN sensasi RB Leipzig, Timo Werner menolak untuk menyertai pasukan Itali, Inter Milan musim depan.
Perkara itu didedahkan Pengarah Sukan Inter, Piero Ausilio yang menyatakan Werner lebih berminat menyertai pasukan yang lebih bagus untuk memperkembangkan kariernya.
"Kami sentiasa berminat dengannya tetapi dia tidak mahu ke sini.Saya tahu faktor yang memainkan peranan. Saya tahu pendapat dan keinginannya.
"Benar, dia memiliki klausa dalam kontrak tetapi dia tidak mahu ke sini dan kami tidak boleh memaksanya," katanya.
Penyerang berusia 24 tahun itu menarik perhatian banyak kelab besar selepas tampil cemerlang bersama Leipzig dalam saingan Bundesliga dan Liga Juara-Juara Eropah musim ini.
Werner ketika ini berada di kedudukan kedua penjaring terbanyak Bundesliga dengan 24 gol dibezakan hanya tiga gol dibelakang penyerang Bayern Munich, Robert Lewandowski.
Dalam pada itu, Ausilio mengakui Inter kini sedang memantau perkembangan seorang lagi pemain dalam Bundesliga iaitu pemain sayap Hertha Berlin, Matheus Cunha.
"Terdapat juga khabar angin mengatakan kami mahu mendapatkan Edinson Cavani tetapi ia bukan keutamaan memandangkan Inter telah memiliki khidmat Lautaro Martinez, Romelu Lukaku dan Alexis Sanchez," katanya.