KUALA NERUS - [DIKEMASKINI] Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) menjadi universiti awam pertama di negara ini yang bersedia melaksanakan majlis konvokesyen secara maya melalui penggunaan teknologi robot dan persidangan video.
Naib Canselornya, Profesor Datuk Dr. Hassan Basri Awang Mat Dahan berkata, dua robot yang dikenali sebagai Naseem dan pasangannya, Seebaa’ dijangka akan digunakan bagi Konvokesyen ke-12 nanti.
Menurutnya, UniSZA bersedia memanfaatkan kedua-dua robot itu sebagai alternatif sekiranya majlis konvokesyen secara bersemuka tidak dapat dilaksanakan.
"Dalam majlis konvokesyen maya itu nanti, Tuanku Canselor akan menganugerahkan skrol kepada robot yang mewakili graduan.
"Manakala graduan akan menyaksikan upacara tersebut secara langsung melalui persidangan video dari tempat masing-masing sama ada mereka berada di dalam negara mahupun di luar negara," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kesediaan UniSZA untuk melaksanakan konvokesyen secara maya itu telah dibuktikan melalui penularan video simulasi konvokesyen secara maya yang telah dikeluarkan oleh pihak UniSZA.
Dalam simulasi itu, Naib Canselor UniSZA menganugerahkan skrol kepada dua robot yang mewakili pelajar-pelajar UniSZA yang mana wajah mereka dipaparkan secara langsung melalui persidangan video pada kepala robot tersebut.
"Malah, dalam simulasi itu, saya dapat berinteraksi secara langsung dengan pelajar-pelajar tersebut.
"Usaha ini dilihat sangat relevan dengan keadaan dunia sekarang yang sedang berusaha melawan penularan wabak virus Covid-19 melalui kaedah penjarakan sosial serta pengurangan pergerakan yang tidak perlu.
"Melalui alternatif konvokesyen secara maya ini, majlis konvokesyen dapat dilaksanakan dengan selamat dan efektif," katanya.
UniSZA sebelum ini telah mencipta sejarah tersendiri apabila menampilkan robot yang diberi nama ‘Naseem’ ketika menyampaikan skrol pada Majlis Konvokesyen ke-11 pada Oktober 2019.
Malah, dengan kepakaran yang ada pada kumpulan penyelidik UniSZA, universiti itu telah berjaya menghasilkan robot kedua yang diberi nama ‘Seebaa’ sebagai pasangan kepada Naseem.
Robot itu dibangunkan oleh penyelidik-penyelidik UniSZA dari Kumpulan Penyelidikan Mechanical, Electronic, Computing and Arts (MECCA) sempena program Karnival Jom Masuk IPT Zon 6 di Kuala Terengganu yang sepatutnya dijadualkan pada 14 hingga 15 Mac yang lalu.