Nelayan hilang ditemukan lemas

Iklan
Mayat Nordin yang dikhuatiri hilang ketika keluar menangkap ikan di muara Sungai Kedah, Kuala Kedah, di sini, ditemukan lemas tengah hari tadi.

ALOR SETAR - Seorang nelayan yang dilaporkan hilang ketika keluar menangkap ikan di muara Sungai Kedah, Kuala Kedah, petang semalam ditemukan lemas tengah hari tadi.

Mayat Nordin Saad, 52, ditemui kira-kira jam 12.36 tengah hari selepas dipercayai terjatuh dari sebuah bot ketika menangkap ikan seorang diri.

Iklan
Iklan

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Ahmad Faizal Ahmad berkata, mayat mangsa ditemui dalam tempoh 24 jam selepas mangsa dilaporkan terjatuh.

"Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada polis sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk tindakan lanjut," katanya ketika ditemui di lokasi pencarian hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Nelayan dikhuatiri hilang di laut

Iklan

Ahmad Faizal berkata, ketika kejadian amaran ribut di laut sudah dikeluarkan dan ombak kuat berlaku pada waktu tengah hari.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba 1 Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan membabitkan JBPM Kedah, APMM, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Perikanan Kedah melibatkan keseluruhan lima bot.

Iklan

Katanya, pihaknya menjalankan operasi selepas menerima laporan kira-kira 8.51 pagi berhubung insiden itu dengan Pos Kawalan Bomba (PKB) Kampung Sematang Pinang diaktifkan.

Beliau berkata, mayat mangsa kemudiannya ditemui bot nelayan pada jarak 2.5 batu nautika dari lokasi asal mangsa dipercayai hilang dan operasi tamat sepenuhnya pada jam 1.13 petang tadi.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan mangsa, Nordin Saad, 52, dikatakan menangkap ikan sendirian di kawasan perairan terbabit kira-kira jam 7 pagi sebelum bot ditemui tanpa pengemudi pada jam 5 petang.