JAKARTA - INDONESIA. Bekas gabenor Jakarta, Basuki Tjahaja Purnama memberi gambaran beliau kini telah 'berubah' menerusi surat tulisan tangan yang telah dimuat naik di media sosial.
Beliau turut meminta penyokongnya supaya tidak lagi memanggilnya Ahok sebaliknya BTP mewakili permulaan huruf namanya.
Basuki, 52, yang akan dibebaskan dari penjara pada Khamis depan juga memohon maaf kepada mereka yang mungkin tersinggung dengan kata-katanya atau tindakannya sepanjang dia berkhidmat.
Difahamkan, nama 'Ahok' itu diberikan bapanya dan telah digunakan secara meluas untuk merujuk kepadanya.
Menerusi surat bertarikh 17 Januari itu, Basuki atau BTP memberitahu, beliau belajar untuk mengawal dirinya sepanjang berada di penjara.
Penganut Kristian itu berkata, beliau bersyukur kerana telah tewas kepada Anies Baswedan dalam pilihan raya gabenor pada April 2017 dan ditempatkan di penjara Mako Brimob di Depok, Jawa Barat.
"Jika saya boleh putar kembali masa dan menentukan nasib sendiri, saya akan memilih untuk tinggal di penjara berbanding memegang jawatan dalam dewan bandar raya untuk tempoh lima tahun lagi yang akan menjadikan saya lebih angkuh untuk menyakiti perasaan orang lain," ujarnya.
Difahamkan, Basuki pernah menjadi Gabenor Jakarta pada November 2014, namun dikalahkan dalam Pilihan Raya Gabenor pada April 2017.
Beliau yang dikenali sebagai pemimpin bersuara lantang menulis surat dua halaman itu untuk mengucapkan terima kasih selain meminta maaf atas apa yang berlaku sepanjang tempoh tiga tahun lalu termasuk kisah sensasi penceraiannya bersama Veronica Tan.
Basuki juga menggalakkan penyokongnya untuk mengundi dalam Pilihan Raya Presiden (Pilpres) pada 17 April depan.
Bekas gabenor itu bakal dibebaskan lebih awal tiga bulan dan 15 hari daripada tempoh sebenar hukuman penjara dua tahun yang dikenakan ke atasnya selepas disabit bersalah kerana menghina agama Islam menerusi ucapan yang menggunakan petikan ayat al-Quran di Kepulauan Seribu pada September 2016. - The Jakarta Post