KUALA KUBU BHARU - Masyarakat India yang akan menyambut Thaipusam esok diingatkan mematuhi undang- undang sepanjang sambutan tersebut.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Lim Bak Phai berkata, bermain mercun dan bunga api yang mengeluarkan letupan turut dilarang selain minuman keras.
Menurutnya, tindakan pencegahan perlu diambil bagi memastikan perayaan dirai dalam suasana aman tanpa sebarang insiden.
"Polis juga meminta kerjasama semua pihak terutama mereka yang berada di lokasi perayaan agar melaporkan kepada anggota keselamatan itu jika berlaku perkara mencurigakan.
"Nampak mahu gaduh, ada simpang parang, pisau atau benda tajam kena beritahu dan telefon polis kerana pihak polis akan ambil tindakan pencegahan.
"Jangan mabuk atau main mercun supaya perayaan dapat berjalan lancar dan diraikan dengan meriah," katanya pada Majlis Ramah Mesra Bersama Masyarakat India di Pusat Memandu PS Samy, kelmarin.
Bak Phai berkata, turut diadakan sesi suai kenal dan dialog berkaitan keselamatan serta undang-undang selain merapatkan hubungan antara polis dan masyarakat india.
Menurutnya, dalam ushaa mencegah jenayah, kerjasama masyarakat amat diharapkan dengan menyalurkan maklumat berguna kepada pihak polis.
Sementara itu, Pengarah Urusan Akademi Memandu PS Samy, Datuk PS Samy berkata, program tersebut menjadi platfom bagi penduduk kaum itu mendekati pihak polis dan mengajukan soalan secara terus kepada ketua polis daerah.
Menurutnya, inisiatif itu mengubah persepsi segelintir masyarakat yang mendakwa sukar mendekati polis dan takut untuk menyalurkan maklumat berkaitan jenayah.
"Ketua polis daerah juga ada nasihatkan supaya patuhi undang-undang semasa menyambut Thaipusam dan kami amat menghargai anggota polis yang bertugas memantau keadaan nanti," katanya.