Sambung Liga-M lebih awal

Iklan
Saingan Liga-M ditangguhkan sejak Mac lalu akibat pandemik Covid-19.

SYARIKAT barangan sukan terkenal tempatan, Al-Ikhsan Sports Sdn Bhd menyarankan pihak kerajaan agar memberikan kebenaran kepada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) untuk menyambung kembali aksi domestik pada akhir bulan depan.

Al-Ikhsan optimis MFL dapat memberikan jaminan setiap aksi Liga Malaysia (Liga-M) diadakan tanpa penyokong dan mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang diarahkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Iklan
Iklan

Itulah yang diakui Ketua Pegawai Eksekutif Al-Ikhsan, Vach Piluttla sambil memberitahu, Liga-M bukan sahaja bersandarkan kepada sukan, sebaliknya turut terlibat dengan perniagaan global.

Menurut Vach, statistik pesakit Covid-19 di Malaysia tidak seperti di negara-negara Barat yang telah pun kembali membuka liga domestik masing-masing - antara salah satu faktor kerajaan harus mempertimbangkan kebenaran kepada MFL untuk menyambung kembali Liga-M akhir bulan depan.

Iklan

Justeru, Vach berharap rakan-rakan penaja termasuk Al-Ikhsan yang telah melabur RM11 juta sejak penampilan pertama dalam Liga-M pada 2015 dapat menanti sinar jika kerajaan memberikan kebenaran kepada MFL.

"Sebagai salah satu penaja lama dalam Liga-M, Al-Ikhsan menyeru kepada kerajaan Malaysia agar dapat memberikan kebenaran untuk melangsungkan kembali Liga-M tanpa penonton pada akhir bulan depan.

Iklan

"Kami fikir tidak akan berlaku sebarang isu jika semua dapat mengikuti SOP seperti yang disarankan MKN dan KKM. Jika kita dapat lihat, Bundesliga sudah memulakan kempen tanpa penyokong, kemudiannya Liga Perdana Inggeris (EPL) dan La Liga yang dijangka menyambung kembali aksi domestik bulan depan.

"Jika dibandingkan statistik Covid-19 dengan negara-negara ini, Malaysia jauh lebih bagus dan kami berpendapat Liga-M tidak berdepan masalah untuk kembali dilangsungkan pada akhir bulan depan.

"Apa yang pasti semua pihak terlibat iaitu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), MFL, persatuan-persatuan negeri dan kelab serta penaja harus bersatu hati untuk mencapai satu keputusan, kemudian barulah menghantar permohonan kepada KKM yang akan membuat keputusan,” katanya semalam.

Vach Piluttla

Dalam perkembangan sama, Vach menegaskan, pandemik Covid-19 telah memberikan impak kepada semua pihak termasuk rakan-rakan penaja dalam Liga-M.

Namun, Vash yakin kerajaan dapat membantu penaja-penaja Liga-M seperti Al-Ikhsan yang telah melabur RM4 juta kepada Pahang, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Terengganu FC (TFC) dan Melaka United musim ini dengan melangsungkan kembali saingan Liga-M lebih awal dan bukannya pada September depan.

"Benar, pandemik Covid-19 telah menjadi satu impak kepada semua pihak dan disebabkan virus ini juga kami tidak memiliki perniagaan selama 48 hari berturut-turut.

"Namun, sekurang-kurangnya membenarkan Liga-M kembali bersambung pada Jun dan bukannya pada September sedikit sebanyak dapat membantu. Ini kerana ia getir buat kesemua pasukan yang telah hilang mata pencarian selepas Liga-M ditutup dalam tempoh agak panjang.

"Ayuh kita bina kembali atmosfera bola sepak tempatan. Penyokong-penyokong sendiri mahu liga kembali berjalan tanpa penyokong dan buat masa ini, ia adalah langkah terbaik kepada semua pihak,” ujarnya.