KOTA BHARU - Kerajaan menggalakkan golongan muda untuk meneroka bidang penternakan ikan kelah yang sentiasa mendapat permintaan tinggi dalam pasaran.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, disebabkan golongan muda tidak tertarik menjadi nelayan, penternakan ikan kelah boleh dijadikan satu inisiatif baharu.
Menurutnya, bidang tersebut juga mampu mengisi kekosongan sektor perikanan dan pemakanan membabitkan penglibatan golongan muda yang semakin berkurangan.
"Penternakan ikan kelah ini sebenarnya mampu menjana pendapatan yang lumayan memandangkan harganya boleh mencecah ribuan ringgit.
"Namun sektor ini tidak menarik minat golongan muda kerana bagi sesetengah mereka dia merasakan penternakan ikan ini tidak sesuai bukan pekerjaan yang ‘nyaman',” katanya kepada media hari ini.
Terdahulu beliau melawat kolam penternakan ikan kelah diusahakan oleh seorang Perunding Perubatan, Prof Dr Ab Aziz Al-Safi Ismail di Pasir Tumboh hari ini.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar Kelantan, Mohd Saripuddin Tuan Ismail dan Ahli Dewan Udangan Negeri (ADUN), Datuk Mumtaz Md Nawi.
Che Abdullah juga berkata, kerajaan sentiasa menggalakkan dan memberikan sokongan kepada aktiviti berkaitan pertanian dan penternakan di negara ini.
Sementara itu, Dr Ab Aziz Al-Safi berkata, beliau mengambil inisiatif menternak ikan kelah dan koi sejak tahun lalu berdekatan kediamannya.
Katanya, beliau menyedari ikan kelah mempunyai permintaan yang tinggi dalam dan luar negeri.
Menurutnya, sebagai permulaan beliau mengeluarkan modal sebanyak RM800,000 untuk menternak 10,000 anak ikan kelah dan 10,000 ikan koi.
"Setakat ini dari segi permintaan pasaran ikan kelah mencecah kira-kira enam tan sebulan, namun pengusaha tempatan hanya mampu menghasilkan jumlah itu dalam tempoh setahun.
"Pada saya penternakan ikan kelah ini masih kurang diterokai, jadi saya mengambil peluang untuk menceburinya,” katanya.