Peguam bina khemah Sedekah Jariah

Iklan
Norizan dan anak lelakinya sering menghabiskan masa di khemah hadapan rumah untuk mengasing dan menggantung pakaian.

KOTA BHARU - Walaupun sibuk melaksanakan tugas sebagai peguam bela, namun ia tidak menghalang Norizan Abdul Rahman berbakti kepada masyarakat dengan membina khemah Sedekah Jariah di hadapan rumahnya di Teluk Kitang di sini.

Norizan dan keluarga membuat keputusan membina khemah tersebut pada empat tahun lalu bertujuan untuk menyumbangkan pakaian dan mengelak berlakunya pembaziran.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ada antara baju-baju yang disumbangkan masih belum dipakai atau dibuang tanda harga.

"Saya suka beli baju, pakaian. Kadang-kadang ada baju yang saya beli sebab suka-suka. Jadi bila sampai satu masa, terdetik di hati, kenapa tidak beri saja pakaian ini kepada mereka yang memerlukan. Mesti mereka gembira sebab baju-baju ini bukan murah, malah cantik.

Iklan

"Saya pun berpakat dengan adik-beradik, kami beli khemah kecil dan letak depan rumah. Mula-mula hanya penduduk kampung yang datang ambil baju-baju itu, tapi lama-lama makin ramai pula yang datang dari luar kota Bharu, ada yang dari Gua Musang, Jeli dan Jerteh," katanya kepada Sinar Harian di sini.

Norizan menggantung tudung yang didermakan orang ramai.

Katanya, laman sosial Facebook miliknya turut digunakan untuk menguar-uarkan mengenai khemah tersebut dan ternyata cara itu membuahkan hasil memberangsangkan.

Iklan

"Alhamdulillah, sekarang ramai yang menyumbang, dari kawasan setempat dan tidak kurang juga dari kawasan lain. Kami menerima apa saja barangan yang mahu diberikan.

"Kebiasaannya saya dan adik-beradik akan memilih pakaian-pakaian tersebut bagi memastikan ia masih boleh digunakan. Jika ada yang rosak, kami akan terus asingkan," katanya.

Norizan berkata, bukan hanya laman sosial, aplikasi WhatsApp juga digunakan sebaik mungkin untuk mengumpulkan penyumbang termasuklah dalam kalangan keluarga terdekat.

"Saya juga berharap rakyat Malaysia boleh jadikan khemah ini sebagai contoh dan boleh dilakukan juga di tempat-tempat lain," katanya.