Bukit sama didaki, lurah sama dituruni

Iklan
Hishammuddin (kiri) bersama Bai Tian (dua dari kanan) pada Majlis Penyerahan Bantuan Bekalan Perubatan daripada kerajaan China kepada Malaysia di Wisma Putra baru-baru ini. - Foto Bernama

BUKIT sama didaki, lurah sama dituruni. Dalam masa lebih dua tahun saya bertugas di Malaysia, inilah peribahasa Melayu yang paling kerap saya sebutkan.

Menjelang 31 Mei, iaitu ulang tahun ke-46 hubungan diplomatik China-Malaysia, peribahasa ini muncul lagi dalam pemikiran saya. Tahun ini agak luar biasa dalam sejarah hubungan diplomatik China-Malaysia.

Iklan
Iklan

Dalam beberapa bulan yang lalu, wabak Covid-19 telah merebak ke merata tempat di dunia, mengancam nyawa, kesihatan dan keselamatan umat manusia termasuk warga China dan Malaysia.

Manusia kini menghadapi kecemasan kesihatan awam yang paling teruk sejak Perang Dunia Kedua. Seperti yang dikatakan oleh Presiden Xi Jinping, virus tidak mematuhi sempadan, tidak membezakan bangsa.

Iklan

Berdepan dengan cabaran wabak Covid-19, rakyat di setiap negara kebal dan tabah, berganding bahu dan berpegang tangan untuk bersama-sama menangani wabak ini.

Di samping itu, hubungan China-Malaysia telah pun berjaya melalui ujian dan dugaan dalam memerangi wabak ini. Bak kata pepatah Cina bahawa, ‘hanya rumput kuat mampu bertahan tiupan angin kencang, hanya waktu kesukaran mampu mendedahkan erti sahabat sejati’.

Iklan

Saling menjaga

Wabak Covid-19 umpama cermin, ia membayangkan agenda tersembunyi orang munafik dan juga ketulenan persahabatan antara teman sejati.

Perkara yang menyentuh hati saya ialah tindakan China dan Malaysia yang mentafsir makna sebenar ‘rakan’ iaitu bukan sahaja berkongsi peluang pembangunan dalam keadaan lancar, malah juga bersatu padu dalam keadaan sukar.

Seperti lirik Bahu Kiri iaitu lagu tema ulang tahun ke-45 hubungan diplomatik China-Malaysia, ‘bahu kananku menghalang angin dan hujan untukmu, bahu kiriku untukmu berpaut’.

China dan Malaysia bantu-membantu dan saling menjaga antara satu sama lain dalam memerangi wabak Covid-19, hal ini telah mencerminkan semangat kejiranan dan persahabatan yang ikhlas.

China dan Malaysia merupakan adik-beradik yang erat apabila Laksamana Cheng Ho belayar ke Melaka pada zaman dahulu dan menjadi rakan karib di sepanjang Laluan Sutera Maritim pada zaman kini.

Pada saat ini pula, kita bekerjasama sebagai rakan seperjuangan dalam melawan Covid-19 untuk menuntut kemenangan bersama.

‘Walau berada berjauhan, tiada jarak antara sahabat karib asalkan hati dekat’. Pada hari yang sama, 46 tahun yang lalu, Malaysia merupakan negara ASEAN yang pertama menjalinkan hubungan diplomatik dengan China.

Sepanjang 46 tahun yang lepas, kita telah melalui pelbagai perubahan tetapi hubungan China-Malaysia kekal stabil dan semakin teguh tidak kira keadaan pasang surut.

Persahabatan China-Malaysia telah berkembang subur kerana kesalingpercayaan politik antara kerajaan kedua-dua negara kerana jalinan erat dalam kalangan rakyat seperti air dicincang takkan putus kerana persahabatan ini selaras dengan harapan dan manfaat rakyat kedua-dua negara.

Sepanjang 46 tahun yang lalu, situasi global dan domestik kedua-dua negara telah banyak berubah, namun semangat persahabatan kita untuk saling menolong tidak pernah berubah.

Saya yakin hubungan kita mempunyai asas yang kukuh, potensi yang tinggi dan prospek yang luas, dengan ini kita pasti boleh mengharung segala kesukaran dan memanjat ke puncak baharu.

Saya berharap China dan Malaysia terus bekerjasama sebagai rakan ikhlas untuk menangani wabak Covid-19. Kini, China dan Malaysia sedang bantu-membantu dengan menyumbangkan bekalan barang-barang, berkongsi pengalaman serta bersama mencegah dan mengawal wabak.

Sebagai langkah seterusnya, kita boleh mendorong kerjasama dua hala dan serantau dalam bidang perubatan dan kesihatan, melibatkan diri dalam ‘pembinaan komuniti dengan kesihatan yang dikongsi untuk umat manusia’, serta bersama menjaga kesihatan dan keuntungan rakyat kedua-dua negara.

Kerjasama

Saya berharap China dan Malaysia bekerjasama untuk menghapuskan kegelapan ekonomi secepat mungkin. Kedua-dua negara boleh terus memperkukuhkan kerjasama dalam projek flagship seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan ‘Dua Negara, Dua Taman Industri’, mengoptimumkan struktur perdagangan dan membesarkan skala perdagangan.

China bersedia meningkatkan lagi pelaburan ke Malaysia, menerajui bidang kerjasama yang baharu termasuk ekonomi digital dan sebagainya serta menyokong Malaysia untuk membina hab perkilangan yang maju.

Saya berharap China dan Malaysia berperanan sebagai daya penggerak perkembangan dan keamanan dunia. Pada masa ini, orde dunia, cara pemikiran masyarakat dan pentadbiran global sedang berubah, lembaran baharu sejarah bakal dibuka.

Sebagai dua buah negara Asia yang penting, China dan Malaysia perlu memainkan peranan aktif untuk menjadi kekuatan teras dalam kestabilan politik dan ekonomi serta kerjasama serantau yang dilengkapkan dengan usaha menegakkan keamanan serantau, multilateralisme dan keadilan antarabangsa.

Kita juga perlu memperjuangkan pentadbiran global yang lebih berkesan dan adil, menghormati pelbagai jenis pembangunan dan ketamadunan.

Tahun ini, Malaysia akan menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak APEC. Pihak China berharap dapat bekerjasama dengan Malaysia untuk meningkatkan integrasi ekonomi serantau dan mengukuhkan sistem perdagangan antarabangsa serta meninggalkan impak luar biasa dalam sejarah APEC.

Hanya apabila dunia berada dalam keadaan harmoni, barulah China dan Malaysia mampu mendapat kemakmuran. Apabila China dan Malaysia mencapai kerjasama menang-menang, dunia juga akan dimanfaatkan.

Saya yakin dengan semangat bukit sama didaki, lurah sama dituruni, kita boleh memanjat puncak yang paling tinggi, kita boleh menempuh lembah yang paling curam.

Akhirnya, selamat ulang tahun ke-46 hubungan diplomatik China-Malaysia! Semoga hubungan diplomatik ini terus berkembang subur dan mencapai ketinggian yang baharu! Semoga kedua-dua negara China dan Malaysia maju dan makmur, rakyat China dan rakyat Malaysia bahagia dan sejahtera!

* Bai Tian ialah Duta Besar Republik Rakyat China ke Malaysia