KUANTAN - Ada pihak dikesan menjalankan kegiatan mengeluarkan ‘pasport antarabangsa’ meragukan kepada warga Kemboja berketurunan Melayu Champa (Bangsa Champa) yang berada di negara ini termasuk di Pahang.
Kegiatan tersebut dipercayai beroperasi di sebuah negeri di utara dan ‘perkhidmatan’ ditawarkan itu diuar-uarkan individu senegara yang pernah memiliki dokumen tersebut.
Seorang wanita warga Kemboja berketurunan Melayu Champa yang mahu dikenali sebagai Iyah, 35 memaklumkan, dia mendapat maklumat berhubung perkara itu melalui rakan dan berminat untuk mendapatkannya dengan bayaran RM250.
Katanya, ‘pasport antarabangsa’ untuk Bangsa Champa itu sah di beberapa negara termasuk negara ini.
‘Mereka kata, pasport itu diterima di sini, jadi kami mohon supaya kami dapat berada dan bekerja di sini secara sah.
"Tapi kami kena mohon dan pergi sendiri ke pejabat mereka di utara. Itu yang kami tahu tapi belum pergi lagi,” katanya.
Iyah dan dua rakan, Sara, 40 dan Sha, 42 yang sudah membuat bayaran untuk dokumen tersebut turut diberikan baju T tertera tulisan Bangsa Champa.
Iyah yang berada di negara ini sejak 10 tahun lalu pernah membuat kad identiti bagi mengesahkan mereka Bangsa Champa yang bekerja di negara ini.
Katanya, kad itu diperoleh di sini namun dia sendiri tidak pasti dengan kegunaan sebenar kad yang dibuat dengan bayaran RM150 tiga tahun lalu.
Adun Semambu, Lee Chean Chung yang mendapat maklumat berhubung kegiatan itu menemui wanita tersebut di gambang untuk mendapat maklumat lanjut, semalam.
Chean Chung ketika ditemui berkata, beliau sendiri belum dapat pastikan pihak yang menjalankan kegiatan itu sama ada melibatkan pertubuhan atau individu.
Menurutnya, dia agak ragu dan syak kemungkinan berlaku unsur penipuan dengan menjadikan warga Kemboja berketurunan Champa sebagai sasaran.
"Saya sendiri sudah semak dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan mendapati tiada kemudahan seperti itu disediakan kepada masyarakat itu di negara ini.
"Lagi pun proses mendapatkan pasport itu juga amat mudah tanpa perlu pengenalan diri negara asal dan dokumen sokongan lain,” katanya.
Chean Chung berkata, dia juga cuba melayari laman sesawang yang tertera pada kad identiti yang ditunjukkan namun gagal apabila ia tidak dapat dibuka.
"Kita bimbang kegiatan ini ada unsur penipuan bertujuan memerangkap warga asing dan mendapat keuntungan dengan mengeluarkan dokumen palsu,” katanya.