MENTERI Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meminta Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) boleh mengemukakan permohonan semula untuk menyambung Liga Malaysia (Liga-M) selepas tamat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Menurutnya, permohonan FAM dan MFL untuk mempercepatkan proses penyambungan Liga-M sama ada sesuai atau sebaliknya sebaik PKPB tamat akan dinilai semula.
"Kerajaan Malaysia sentiasa mengutamakan keselamatan dan kesejahteraan rakyat sebelum memuktamadkan sebarang keputusan berkaitan aksi domestik. PKPB ini tamat pada 9 Jun ini dan sama ada (PKPB) bersambung atau sebaliknya, kita tunggu dan lihat sahaja.
"Kita tidak perlu ikut (cara) Eropah sebagai dalam isu ini kerana bukan semua cara mereka adalah berkesan ketika menangani virus Corona,” katanya kepada Sinar Ahad.
Katanya, walaupun beberapa liga di Eropah sudah kembali bermain, namun fokus kerajaan ketika ini adalah rakyat Malaysia.
"Sudah pasti kita akan lakukan semua aspek Prosedur Operasi Standard (SOP) di mana umum mengetahui bola sepak adalah ‘sports contact’.
"Itu sahaja isunya dan bukannya kami tidak mahu awalkan Liga-M. Sedangkan bersalaman pun kita tidak bagi sekarang tetapi seperti saya katakan tadi, FAM dan MFL boleh buat permohonan semula selepas tamat PKPB nanti," katanya.
Sinar Harian semalam melaporkan syarikat barangan sukan terkenal tempatan, Al-Ikhsan Sports Sdn Bhd berharap Kerajaan Malaysia dapat memberikan kebenaran kepada MFL untuk menyambung kembali aksi domestik pada akhir bulan depan.
Al-Ikhsan menerusi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Al-Ikhsan, Vach Piluttla optimis bahawa MFL dapat memberikan jaminan di mana setiap perlawanan Liga-M diadakan tanpa penyokong dan mengikuti SOP yang diarahkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
ARTIKEL BERKAITAN: Sambung Liga-M lebih awal
Sebelum ini, MFL memohon kebenaran untuk menyambung Liga-M pada September selepas permohonan untuk memulakan kempen domestik pada Julai atau Ogos ditolak Jawatankuasa MKN pada April lalu.