SHAH ALAM - Beberapa pengguna air sekitar Selangor mengeluh dan meluahkan rasa terkejut apabila mendapati bil diterima mereka pada bulan Mei agak tinggi berbanding bulan-bulan sebelumnya.
Difahamkan kenaikan berkali ganda itu menyebabkan ramai pihak mempertikaikan jumlah bayaran bulanan yang harus dilunaskan memandangkan mereka mendakwa kadar penggunaan air sebelum ini agak berhemah.
Menurut seorang peniaga dalam talian, Shamsul Hairi Mohd Yasin, 39, beliau merasa amat terkejut apabila mendapati bil airnya pada bulan ini mencecah jumlah RM419 berbanding hanya sekitar RM120 sebelum ini.
"Rumah saya dan sebuah lagi rumah sewa kami di belakang mengguna satu bil. Kebiasaannya bayaran bil itu tidak terlalu tinggi namun pada kali ini jumlah dua kali ganda berbanding biasa," katanya kepada Sinar Harian.
Sementara itu, seorang pengguna Facebook dikenali sebagai Ukasyah Zainal turut mempertikaikan jumlah bayaran bil diterimanya pada bulan ini yang dianggap agak tinggi dan tidak munasabah.
"Selalu bil hanya sekitar RM30 sebulan, sekarang sampai RM190," katanya.
Dalam pada itu, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menerusi satu kenyataan sebelum ini memaklumkan bahawa bermula 18 Mac sehingga 30 April lalu, pihaknya tidak membuat bacaan meter namun hanya mengeluarkan bil anggaran berdasarkan kepada maklumat purata penggunaan harian pada bulan sebelumnya.
Katanya, pembacaan meter mula dilaksanakan semula sejak 2 Mei lalu dan bil pada bulan Mac akan diselaraskan melalui bil bulan April serta Mei 2020 berdasarkan kepada bacaan sebenar meter di premis pelanggan.
"Selain itu, bil bulanan tinggi juga mungkin disebabkan oleh penggunaan air semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang tinggi berbanding bulan sebelumnya.
"Pelanggan disaran untuk melayari laman sesawang Air Selangor bagi mengetahui lebih lanjut mengenai jadual tarif bil air," katanya.
Di samping itu, Air Selangor berkata, kadar jumlah bil bulanan yang tinggi juga boleh berlaku disebabkan masalah kebocoran pada sistem paip dalaman premis.
"Sekiranya bil air tinggi disyaki berpunca daripada bacaan meter yang salah, pelanggan digalakkan untuk menghubungi Air Selangor bagi tujuan siasatan lanjut," katanya.