TELUK INTAN - Dua remaja lelaki ditahan polis kerana melakukan aksi berbahaya ketika menunggang motosikal dengan mengangkat tayar hadapan atau wheelie di pekan Langkap di sini semalam.
Mereka masing-masing berusia 17 tahun dan sudah tidak lagi bersekolah ditahan sekitar jam 6 petang oleh anggota yang menjalankan pemantauan Op Covid-19.
Iklan
Iklan
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Mohd Marzukhi Mohd Mokhtar berkata, kedua-dua suspek yang menunggang dan membonceng motosikal jenis Honda Ex5 itu dikesan tidak memakai helmet dan mempamer aksi wheelie serta zig-zag dari kiri kanan jalan.
"Aksi tersebut boleh membahayakan diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain.
"Anggota yang menyedari aksi dilakukan remaja itu telah mengekori motosikal berkenaan hingga ke persimpangan lampu isyarat di pekan Langkap," katanya.
Menurutnya, motosikal itu kemudiannya diarah berhenti untuk pemeriksaan.
"Mereka ditahan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.