ILMU pemasaran politik adalah salah satu bidang yang terpenting dalam pengurusan sains politik. Ia adalah elemen yang menjadi asas kepada kekuatan dan keindahan dunia politik.
Namun, faktor pengundi masih lagi menjadi agenda terpenting. Kepuasan dan persepsi pengundi adalah penentu kejayaan atau kegagalan pembentukan pengaruh dunia politik.
Sehubungan itu, Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands (CH) boleh menjadi penanda aras untuk menentukan kehendak pengundi terbela atau setidak-tidaknya diberi perhatian. Inilah yang menjadi cabaran terbesar bagi Kerajaan Persekutuan yang diterajui Pakatan Harapan (PH).
Memang tidak dinafikan, kaedah pemasaran politik bukanlah penentu kemenangan untuk memperoleh pengaruh pengundi. Tetapi harus diingatkan, penyusunan gerak kerja dan program untuk mendekati jiwa pengundi adalah sesuatu yang wajib dilakukan. Pengundi perlu melihat calon dengan mata kepala mereka sendiri.
Program yang melibatkan penduduk setempat perlu dimasukkan dalam slot kempen.
PRK Cameron Highlands kali ini melibatkan pertembungan empat penjuru yang sengit. Barisan Nasional (BN) meletakkan Ramli Mohd Noor, yang masih baharu dalam dunia politik.
BN telah membuat suatu langkah yang berani dan patut dipuji. Bagi PH, mereka masih lagi mengharapkan pengaruh calon mereka iaitu M Manogaran. Pada PRU14, beliau memperoleh 9,710 undi. Manakala BN ketika itu C Sivarraajh, memperoleh 10,307. Perbezaan hanya 597 undi.
Di PRK Cameron Highlands kali ini, terdapat dua calon bebas yang mencuba nasib, iaitu Sallehudin Ab Talib dan Wong Seng Yee. Kedua-dua calon ini dilihat sebagai sukar untuk menembusi pengundi. Mereka perlu menyediakan jentera yang cukup untuk memastikan kelancaran program kempen. Ini semestinya memerlukan modal dan komitmen tinggi.
Semestinya di PRK kali ini, faktor isu dan masalah setempat menjadi agenda utama kempen. Cameron Highlands yang terkenal dengan kedinginan dan daun teh, pastinya akan dihujani permasalahan yang pelbagai.
Isu tanah pertanian, kesesakan jalan raya terutamanya pada musim cuti dan isu lambakan pekerja asing. Namun demikian, isu perumahan, pendidikan dan kemudahan asas yang lain juga masih relevan untuk dibincangkan.
Parlimen Cameron Highlands telah menjadi kubu kuat BN sejak sekian lama. Melalui empat PRU, BN mendominasi. Namun demikian, berlaku pola penurunan terhadap bilangan undi untuk BN.
Fakta inilah yang membimbangkan BN. Meletakkan seorang calon yang pernah menjadi pegawai polis, diharapkan akan dapat mengubah dan menambah undi kepada kem BN.
Melalui pemasaran politik, calon dan isu setempat menjadi wadah utama proses kempen. BN akan menggunakan sebaik mungkin peluang untuk menjadi isu kenaikan kos sara hidup, pendidikan nasional dan kemudahan prasarana di Parlimen Cameron Highlands. Isu"Janji Tinggal Janji” pastinya bergema di setiap pentas kempen.
Bagi PH, PRK Cameron Highlands adalah manifestasi penerimaan rakyat ke atas dasar dan beberapa keputusan kerajaan. PH akan cuba menyenaraikan hasil pembongkaran dan penyelewengan kerajaan terdahulu. Felda dan Tabung Haji menjadi isu utama untuk ditaburkan kepada pengundi Melayu. Tanpa melupakan isu 1MDB dan hutang kerajaan terdahulu. Kerajaan juga pastinya akan menyampaikan maklumat terbaru mengenai dasar kerajaan.
Isu kenaikan kos sara hidup, akan"dibalas” dengan penurunan harga minyak dan pemberian Bantuan Sara Hidup (BSH). Isu pendidikan pula, melalui Kementerian Pendidikan yang baharu, akan cuba mengangkat kebajikan guru, pendidikan untuk OKU, penghapusan peperiksaan untuk tahap 1- 3 dan beberapa isu lain.
Pilihan raya adalah tempat yang paling sesuai untuk pihak kerajaan menyampaikan maklumat dan mendapatkan maklum balas dengan segera.
Namun demikian, pemasaran politik bukanlah tugas ketika menjelang pilihan raya sahaja. Pemasaran produk politik seperti calon, ideologi, misi dan visi perlu dilakukan setiap masa.
Jangan hanya menunggu pilihan raya, barulah jentera parti bergerak. Jikalau ini terjadi, peluang sesebuah parti untuk menembusi kesemua potensi pengundi adalah sukar. Pembinaan persepsi positif dalam kalangan pengundi bermula sebelum pilihan raya.
Keputusan PRK Cameron Highlands pastinya akan di tunggu-tunggu oleh orang ramai. Adakah Persahabatan antara Umno dan Pas akan membuahkan hasil? Adakah Umno yang sedang bergolak masih mempunyai pengaruh?
Apakah penerimaan rakyat mengenai dasar dan keputusan kerajaan? Soalan-soalan ini sedikit sebanyak akan terjawab berdasarkan keputusan PRK Cameron Highlands. Biarlah pengundi seramai 32,105 memilih wakil mereka untuk ke Parlimen. Merekalah yang berhak untuk menentukan calon pilihan mereka.
Jom Raikan Demokrasi!
* Penulis ialah pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains Politik USM, kini sedang menyambung pengajian di peringkat master