AMPANG - Seorang penduduk mendakwa masih berlaku pergerakan tanah di kawasan runtuhan di Jalan Kelab Ukay 4, Bukit Antarabangsa di sini.
Normal Serin, 55, berkata, rekahan pada dinding bahagian dapur rumahnya semakin besar berbanding semalam.
"Semalam sebelum tinggalkan rumah, rekahan itu hanya kecil tapi pagi ini sewaktu balik sekejap untuk ambil barang saya tengok kesan rekahan itu semakin besar.
"Saya tak pasti jumlah kerugian yang ditanggung kerana masih menunggu pihak berkuasa menjalankan siasatan," katanya ketika ditemui Sinar Harian di rumahnya hari ini.
Semalam, kira-kira jam 2 pagi berlakunya runtuhan tebing di belakang tujuh rumah penduduk termasuk dua daripadanya yang dijadikan galeri dan rumah mengaji.
ARTIKEL BERKAITAN: Tujuh rumah terjejas tanah runtuh di Taman Kelab Ukay
Jiran kejutkan tidur beritahu tanah runtuh
Susulan itu, kira-kira 40 penduduk diminta mengosongkan rumah dan disediakan penginapan sementara di Hotel De Palma Ampang selama seminggu.
Tinjauan Sinar Harian pagi ini di lokasi mendapati terdapat kerja lapangan dilakukan kontraktor bagi pelan pembinaan tembok penahan.
Terdapat juga beberapa penduduk yang pulang ke rumah masing-masing bagi mengambil barang keperluan.
Difahamkan terdapat penduduk yang memilih tinggal di rumah saudara berbanding menginap di hotel yang turut menyediakan makan pagi, tengah hari dan malam.
Sementara itu, Ahli Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Suzana Shaharudin berkata, pemasangan cerucuk bagi pembaikan anak sungai Sungai Sering berhampiran kawasan runtuhan itu diteruskan bagi mengurangkan kesan pergerakan tanah.
"Projek di bawah JPS itu ditangguhkan Mac lalu disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan mula dijalankan semalam sepanjang 70 meter yang mengambil masa seminggu.
"Saya akan usulkan supaya JPS dapat teruskan pemasangan cerucuk hingga ke hujung sungai yang jaraknya kira-kira100 meter bagi mengelakkan insiden sama berulang," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: RM2 juta baiki tebing runtuh
Besi penahan tanah dipasang di kawasan tanah runtuh Bukit Antarabangsa