TAMPIN - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) merampas 420 barangan tiruan jenama terkenal bernilai RM72,420 menerusi Op Barang Tiruan di sebuah pasar raya di Seremban dekat sini, Jumaat lalu.
Pengarah KPDNHEP Negeri Sembilan, Ain Arjuna Aziz Zaman berkata, dalam serbuan itu pihaknya turut menahan empat individu dipercayai pekerja premis tersebut.
Menurutnya, serbuan dilakukan 11 anggota penguat kuasa KPDNHEP kira-kira jam 4 petang hasil aduan orang awam dan risikan dilakukan.
"Empat individu terdiri daripada dua lelaki serta dua perempuan berusia 20 hingga 30 tahun ditahan untuk membantu siasatan, mereka berada di tempat kejadian semasa serbuan dilakukan.
"Modus operandi mereka adalah menyewa lot tapak di pasar raya dan membuka gerai jualan sejak 15 April lalu. Antara barangan tiruan berjenama yang dirampas adalah kasut jenama Adidas pelbagai warna dan saiz sebanyak 304 unit dan t-shirt jenama Adidas pelbagai warna (116 unit)," katanya.
Beliau berkata demikian kepada selepas tinjauan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa yang turut dihadiri Exco Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan, S Veerapan di Pasar Besar Tampin di sini hari ini.
Ain Arjuna berkata, barangan yang dijual di premis itu dijual dengan harga yang hampir sama dengan barangan asli antara RM80 hingga RM300.