VVIP Bunga Mawar tarikan terbaharu di Sungai Melaka

Iklan
Ketua Menteri, Adly Zahari ketika perasmian Bot VVIP Bunga Mawar Melaka River Cruise di Jeti Restoran Melayu Melaka, hari ini.
MELAKA - Kerajaan Melaka yakin tarikan terbaharu Bot VVIP Bunga Mawar Melaka River Cruise mampu melonjakkan lagi industri pelancongan negeri ini.

Ketua Menterinya, Adly Zahari berkata, produk berkenaan yang mula dilancarkan semalam diperkenalkan khas untuk individu dan organisasi yang ingin mengadakan program dengan ciri kelainan sendiri.

"Bot VVIP Bunga Mawar adalah tarikan terbaharu di Sungai Melaka, bagi yang berminat pakej sewaan adalah RM1,000 untuk sekali sewaan untuk mengadakan program-program antaranya majlis keraian, majlis meraikan tetamu khas dan lain-lain.

"Menariknya, bot ini turut menyediakan kemudahan makanan dan minuman serta dilengkapi pendingin hawa,” katanya selepas Majlis Perlancaran Bot VVIP Bunga Mawar Melaka River Cruise di Jeti Restoran Melayu Melaka di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan, Datuk Muhammad Jailani Khamis dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM), Azlan Abidin.

Dalam pada itu, Ketua Menteri berkata, PPSPM sentiasa menambah baik produk dari semasa ke semasa bagi keselesaan pelancong.

"Kualiti bot juga sentiasa dititikberatkan supaya selamat dan berada di tahap terbaik. Kita mahukan pelancong selesa apabila menaiki bot Melaka River Cruise,” katanya.