Segerakan pindaan undang-undang pemandu mabuk

Iklan
Gambar hiasan - Foto 123RF

KUALA LUMPUR - Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) menyokong sepenuhnya cadangan untuk meminda undang-undang berkaitan kes kemalangan membabitkan pemandu mabuk yang dilihat semakin meningkat sejak kebelakangan ini.

Malah MCPF menggesa agar pelaksanaan pindaan undang-undang itu disegerakan bagi memastikan individu yang melakukan kesalahan itu dijatuhkan hukuman lebih berat dan setimpal pada masa akan datang.

Iklan
Iklan

Naib Pengerusi Kanan MCPF, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, perkara itu perlu diberi perhatian serius bukan sahaja membabitkan peruntukan berkaitan memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan kecederaan atau kematian bahkan juga memandu di bawah pengaruh minuman yang memabukkan walaupun tidak terlibat dalam kemalangan.

"Sudah tiba masanya undang-undang itu dikaji semula dan dipinda bagi menyesuaikannya dengan keadaan semasa.

ARTIKEL BERKAITAN: Hukuman lebih berat kepada pemandu mabuk: PM

Iklan

"Penalti atau hukuman di bawah akta sedia ada dilihat tidak memberi kesan kerana terdapat segelintir pemandu yang tidak serik untuk memandu selepas mengambil minuman yang mengandungi alkohol,” menurutnya dalam kenyataan di sini hari ini.

Semalam Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Kementerian Pengangkutan telah diarah merangka pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) bagi membolehkan hukuman lebih berat dikenakan terhadap mereka yang disabitkan kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah.

Iklan

Berdasarkan statistik polis sepanjang tempoh Januari hingga Mei tahun ini, sebanyak 21 kes membabitkan pemandu mabuk dilapor dengan lapan orang meninggal dunia.

Lam Thye juga mencadangkan agar pindaan akta berkaitan bukan sahaja tertumpu kepada pengambilan minuman beralkohol malah perlu merangkumi pengambilan dadah, ubat-ubatan atau bahan lain yang boleh mendatangkan kesan semasa memandu.

Beliau berkata, pihak polis juga perlu melaksanakan operasi secara besar-besaran dan memperhebatkan usaha mengesan individu yang memandu dalam keadaan mabuk.

Sementara itu, lima individu berusia lingkungan 41 hingga 49 tahun ditahan kerana memandu di bawah pengaruh alkohol menerusi Ops Mabuk di Petaling Jaya, Selangor manakala empat lelaki berusia antara 30 dan 40 tahun ditahan dalam operasi di Batu Pahat, Johor pada awal hari ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, seramai 308 pengguna jalan raya dan 279 kenderaan diperiksa dalam operasi yang bermula pada jam 12 tengah malam dan berakhir jam 3 pagi tadi.

Di Batu Pahat pula, sebanyak 35 kenderaan diperiksa dalam operasi dari tengah malam tadi hingga jam 4 pagi ini, kata Ketua Polis Daerah Batu Pahat Asisten Komisioner Azhan Abdul Halim. - Bernama