KOTA BHARU - Jabatan Kesihatan Kelantan hari ini memaklumkan keadaan ibu mengandung yang disahkan positif koronavirus (Covid-19) dari Kuala Krai baru-baru ini dalam keadaan sihat dan tidak mengalami simptom jangkitan.
Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, bagaimanapun, pihaknya masih membuat pemantauan rapi terhadap wanita mengandung 37 minggu itu.
"Kita akan tunggu hari ke-13 untuk melakukan ujian sekali lagi terhadap ibu mengandung tersebut.
"Sekiranya hasil ujian didapati negatif, ibu tersebut dibenarkan pulang ke rumahnya,” katanya kepada media hari ini.
Beliau ditemui selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan (JKKN) Khas Negeri Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim dipengerusikan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob hari ini.
Dr Zaini berkata, semua sampel kontak terdekat wanita tersebut yang berada di Kelantan dan Ampang, Kuala Lumpur sudah diambil.
"Sebanyak 30 kontak rapat kepada wanita tersebut sudah diperiksa dan hasilnya semua negatif.
Berdasarkan rekod, Kelantan setakat ini mencatatkan 156 kes dengan kekal tiga kematian.