KUALA LUMPUR - Terasa kematian begitu hampir! Itulah pergolakan emosi yang dilalui oleh seorang daripada pesakit Covid-19 apabila disahkan positif dijangkiti virus itu.
Lebih memilukan, Aiza Syafinaz Shahak,34, disahkan positif Covid-19 empat hari selepas kehilangan suaminya Inspektor Mohd Fairos Saberon,36, yang meninggal dunia akibat dijangkiti virus yang sama pada 17 Mac lalu.
Meskipun kini telah bebas sepenuhnya daripada virus berbahaya itu, Aiza Syafinaz tidak dapat melupakan pengalaman sebagai salah seorang pesakit Covid-19.
Menceritakan pengalaman berdepan dengan virus itu, Aiza Syafinaz berkata, dia bersama-sama arwah suami, bapa dan ahli keluarga yang lain melawat ke Bandung, Indonesia dari 9 hingga 12 Mac lalu.
"Ketika tahu saya juga dijangkiti virus Covid-19 dan merupakan kontak utama arwah suami, hati jadi tidak keruan, jantung bagai gugur ke bumi. Terasa kematian semakin hampir. Semuanya seperti satu mimpi ngeri,” katanya kepada Bernama.
Aiza Syafinaz berkata, pengalaman yang tidak akan dilupakan apabila menaiki ambulans dengan petugas hospital yang memakai sut peralatan perlindungan diri (PPE) yang amat ditakuti pada masa itu.
Menurut Aiza Syafinaz, berada 10 hari dalam wad Hospital Kuala Lumpur sebelum dipindahkan ke pusat kuarantin di Pusat Belia Antarabangsa Cheras selama 28 hari, menjadi satu pengalaman yang menginsafkan.
Mengimbas kembali tanda-tanda awal jangkitan virus Covid-19, Aiza Syafinaz berkata, dia mengalami sakit tekak, hilang deria bau, hilang deria rasa dan rasa tidak sedap badan seperti nak demam.
"Melihat perjuangan pesakit Covid-19 di dalam wad sangat menyentuh hati. Saya ingin nasihat orang ramai supaya sentiasa mematuhi SOP (prosedur operasi standard) Kementerian Kesihatan. Kerap mencuci tangan, bawa pensanitasi tangan ke mana-mana.
"Elakkan tempat sempit, sesak dan ramai orang, pastikan jarak selamat, elak bersentuhan serta pastikan kebersihan diri dalam keadaan yang optimum,” katanya yang mendapat khidmat kaunseling daripada Polis Diraja Malaysia.
Menyentuh tentang persepsi negatif segelintir masyarakat terhadap pesakit Covid-19, Aiza Syafinaz merayu agar tidak mengecam pesakit Covid-19.
"Kepada masyarakat di luar sana, berhenti menyalahkan sesama sendiri. Kita perlu bersatu hati agar dapat mencegah penularan wabak Covid-19 dan berjaya memutuskan rantaian ini,” katanya sambil memuji usaha petugas barisan hadapan dan semua terlibat yang mempunyai kebolehan tertinggi dalam pengurusan virus yang mengancam nyawa itu.
Selain Aiza Syafinaz dan arwah suaminya, bapanya Shahak Mohd Husin,58, dan ibu angkat, Junidah Othman turut positif Covid-19.
Kini, bapa dan ibu angkatnya turut bebas virus itu, Aiza Syafinaz menzahirkan kesyukuran dan berterima kasih atas sokongan daripada rakan-rakan dan orang ramai yang tidak putus-putus mendoakannya.
Sementara itu, bagi menjalani normal baharu kehidupan, Aiza Syafinaz berkata, walaupun masih bersedih kehilangan orang tersayang ketika sambutan Aidilfitri, beliau positif untuk berdikari tanpa suami di sisi.
"Ramadan dan Syawal kali ini sangat pilu. Tiada lagi gelak tawa insan tersayang. Sudah tiada hidangan menu kegemaran suami ikan kembung sambal.
"Namun saya teruskan melangkah dan ingin terus memberikan motivasi kepada rakan wanita di luar sana agar terus kuat dan teruskan kehidupan ini walau ujian datang melanda,” katanya sambil berharap ada sinar gembira di sebalik ujian getir yang ditempuhinya. - Bernama