WASHINGTON - Perintah berkurung dikuatkuasakan di 25 bandar di 16 negeri seluruh Amerika Syarikat (AS) susulan protes ganas membantah kekejaman polis yang menyebabkan kematian penduduk kulit hitam, George Floyd pada Isnin lalu.
Langkah tersebut dibuat selepas keadaan dilaporkan semakin tidak terkawal dan keganasan itu telah merebak ke 30 bandar di seluruh negara tanpa menghiraukan ancaman koronavirus (Covid-19).
Los Angeles, Chicago, Atlanta dan Philadelphia antara kira-kira 25 bandar yang mengarahkan penduduk supaya duduk di rumah seawal jam 8 malam hingga matahari terbit (waktu tempatan) sebagai langkah meredakan situasi.
Sementara itu, Minneapolis yang menjadi pusat protes yang masuk hari kelima semalam terus menyaksikan kejadian keganasan.
Tidak lama selepas perintah berkurung berkuat kuasa pada jam 8 malam, polis di Minneapolis dibantu Pengawal Kebangsaan mula bertindak melepaskan gas pemedih mata dan bom tangan terhadap peserta protes yang ingkar arahan itu.
Gabenor Minnesota, Tim Walzs memaklumkan beliau telah menggerakkan seluruh pasukan Pengawal Kebangsaan di negeri itu terdiri daripada 13,000 anggota selepas penunjuk perasaan bertindak ganas memecah masuk deretan kedai dan mencetuskan kebakaran di kawasan sekitar Minneapolis dan St Paul.
Selain itu, kesemua jalan utama menuju ke Minneapolis juga ditutup pada malam kelmarin berikutan beberapa penduduk tempatan mendakwa rusuhan ganas tersebut dicetuskan oleh kumpulan dari luar Minnesota.
Terdahulu, orang ramai berkumpul secara aman di Minneapolis sambil membawa penyapu untuk membantu membersihkan kawasan kedai dan jalan yang menjadi sasaran kekecohan ketika protes tersebut.
Beberapa jambangan bunga turut diletakkan di hadapan kedai di mana Floyd, 46, ditahan dan sebelum mangsa meninggal dunia angkara tindakan kekerasan anggota polis dikenali sebagai Derek Chauvin yang melutut pada lehernya selama hampir sembilan minit.
Terdapat beberapa laporan tentang kejadian keganasan dan kerosakan harta benda dilaporkan sebelum perintah berkurung dilaksanakan, namun keadaan semakin terkawal pada jam 11 malam dan kebanyakan bandar juga mula lengang menjelang tengah malam. - Agensi