KUALA LUMPUR - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menggesa kerajaan menyegerakan pelaksanaan penebusan awal gantian cuti rehat (GCR) sebanyak 75 hari untuk ganjaran wang tunai yang diumumkan pada pembentangan Belanjawan 2020, tahun lepas.
Presidennya, Adnan Mat berkata, pengumuman tersebut melibatkan penjawat awam yang berkhidmat sekurang-kurangnya 15 tahun dan pelaksanaan itu sepatutnya berkuat kuasa pada 1 Januari 2020.
Iklan
Iklan
Beliau berkata, kerajaan perlu menyegerakan pindaan ke atas peraturan yang berkaitan dalam Peraturan-Peraturan Pencen 1980 bagi membolehkan pelaksanaan itu dilakukan.
"Cuepacs sebelum ini juga menyuarakan mengenai isu ini, bagaimanapun sehingga tempoh enam bulan pertama tahun ini keputusan mengenainya masih tiada khabar berita.
Cuepacs memahami kekangan dialami kerajaan disebabkan penularan wabak koronavirus (Covid-19) serta pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan. Bagaimanapun ketika ini hampir 70 hingga 80 peratus penjawat awam di pelbagai jabatan dan kementerian diarahkan bertugas seperti biasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Adnan berharap perkara tersebut diselesaikan segera pada tahun ini dan tidak dibawa kepada tahun hadapan sebagai sebahagian daripada belanjawan baharu.
"Setiap janji atau perancangan yang telah dibuat dalam belanjawan sewajarnya diberi perhatian yang sepatutnya,” katanya. - Bernama