Mak Cik Pah dan Covid-19

Iklan
Gambar hiasan - Foto 123RF

SEPERTI biasa dalam perjalanan untuk balik kampung, saya akan singgah di beberapa warung nasi lemak atau cendol di tepi jalan. Paling popular warung Mak Cik Pah yang sering dikunjungi pelanggan. Kedai kecil, tetapi sedap dan murah. Tetapi sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, warung dan peniaga kecil banyak yang ditutup termasuk warung Mak Cik Pah. Apa pekerjaan mereka sekarang? Bagaimana pendapatan mereka setelah hampir tiga bulan tidak berniaga?

Setahu saya Mak Cik Pah dan kedai lain di sepanjang jalan berniaga sepenuh masa sejak lebih 20 tahun dahulu. Namun, wabak Covid-19, pekerjaan dan mata pencarian mereka terjejas. Siapa yang akan membantu mereka? Apakah pihak berwajib terutama kementerian yang melibatkan usahawan kecil dan sederhana membantu mereka memperkenalkan perniagaan normal baharu? Lalu terdetik dalam fikiran, adakah Mak Cik Pah dan seumpamanya mampu menjual secara online?

Iklan
Iklan

Rata-rata peniaga ini, mereka kurang mesra dengan pendekatan online. Apa yang mereka tahu sekadar mengira untung rugi secara manual. Nasib mereka perlu dibela. Masalah utama di luar bandar adalah liputan internet yang rendah dan kadangkala tiada langsung. Adakah peniaga luar bandar akan terus tertinggal dalam dilema normal baharu? Sedangkan masa kini semuanya menggunakan pendekatan online. Baik dalam pelajaran, peniagaan dan kerja dari rumah. Namun, prasarananya agak mengecewakan.

Andai Covid-19 tiada penawarnya, mungkin normal baharu akan berterusan sehingga lima tahun akan datang. Bermakna penyakit yang hadir ke seluruh dunia ini telah merubah paradigma pemikiran dan menjadi modal sosial.

Iklan

Modal sosial merupakan lanjutan penggunaan dan perkongsian maklumat melalui media sosial yang menyalur dan menyampaikan mesej dalam kumpulan atau komuniti. Ia menjadi modal idea dan pemikiran baharu yang akan digunakan oleh orang ramai untuk menjalani kehidupan. PKP diperkenalkan oleh kerajaan demi menyelamatkan nyawa. Sememangnya banyak sektor ekonomi yang terjejas. Apa yang dilaksanakan di Amerika Syarikat contohnya, tanpa lockdown, kurang sekatan akhirnya meragut ratusan ribu nyawa. Bagi pemerintah negara berkenaan, ekonomi perlu diselamatkan dan diteruskan. Namun, kehadiran Covid-19 tidak bererti kita duduk diam, meratapi nasib tetapi kita perlu memikir dan melaksanakan pendekatan baharu sesuai dengan normal sekarang.

Prosedur

Iklan

Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) memberi nafas lega. Bukan sahaja buat peniaga kecil. Normal baharu kini mula menjadi kelaziman. Namun, peniaga luar bandar seperti Mak Cik Pah masih tercari-cari dan bingung untuk terus menjual di warungnya. Pernah Mak Cik Pah memulakan kembali jualannya, tetapi diarahkan tutup oleh pihak berkuasa tempatan. Alasannya tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP). Mak Cik Pah sendiri tidak faham prosedur, lalu mengambil keputusan menutup terus peniagaannya.

Kementerian Luar Bandar (KLB) seharusnya bukan hanya membantu dari segi bahan makanan mentah seperti beras, telur dan sardin, namun perlu dekati peniaga kecil untuk memasarkan dan menjual mengikut normal baharu.

KLB perlu memberikan idea dan motivasi baharu, bukan menyepi dan mengetepikan peniaga seperti Mak Cik Pah. Ramai juga yang menasihati Mak Cik Pah berjualan dari rumah. Namun, Mak Cik Pah tiada modal dari segi internet dan telefon canggih. Sebagai peniaga kecil sekadar cukup makan, Mak Cik Pah cuba memikirkan pekerjaan lain untuk menampung enam orang anak yang masih kecil. Kisah Mak Cik Pah sebenarnya realiti masa kini. Malah, ramai lagi peniaga yang senasib dengannya terjejas dan hilang pekerjaan dek Covid-19.

Kerajaan negeri dan Persekutuan sebenarnya perlu duduk berbincang dan memastikan nasib rakyat terutama golongan B40. Perlu ada mekanisme dan pendekatan agar setiap rakyat terus dibela. Jika bekerja di rumah, apakah formula dan kaedahnya? Pada masa ‘darurat’ begini, pihak pemerintah, pemimpin, barisan menteri dan pemimpin di negeri perlu tampil membantu rakyat yang dilanda kesusahan dan kehilangan mata pencarian. Bersungguh-sungguhlah memulihkan ekonomi dan membantu memberi nafas kepada peniaga kecil mengikut acuan normal baharu.

* Profesor Datuk Dr Ismail Sualman ialah Pengarah Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi MARA