PORT DICKSON - Pemilik kedai emas dikenakan kompaun RM1,000 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) hari ini.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, hasil pemantauan pihaknya mendapati pengusaha didapati tidak mematuhi PKPB dengan tiada amalan penjarakan sosial oleh pelanggan dalam premis.
"Pemerhatian yang dilakukan mendapati ramai pelanggan berada dalam premis tanpa mematuhi SOP yang telah dikeluarkan oleh kerajaan.
"Disebabkan itu, pemilik premis telah dibawa ke Balai Polis Port Dickson dan dikenakan kompaun," katanya.
Pihaknya turut menasihatkan mana-mana premis yang beroperasi supaya mematuhi SOP dan garis panduan ditetapkan bagi mengelak penularan koronavirus (Covid-19).
"IPD Port Dickson akan terus membuat pemantauan keseluruhan dalam daerah Port Dickson agar SOP yang telah digariskan dalam tempoh PKPB ini dipatuhi," katanya.
Dalam perkembangan berasingan, seorang lelaki warga negara Belarus, ditahan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas sekatan jalan raya di Kilometer 26 Jalan Lukut Sepang.
Katanya, lelaki berusia 29 tahun itu, cuba merentas negeri dari arah Sepang, Selangor menghala ke Port Dickson, dengan berjalan kaki tanpa sebarang kebenaran merentas negeri dan alasan yang munasabah.
Lelaki itu juga katanya, turut mengeluarkan kata-kata kesat dan bertindak agresif terhadap pegawai bertugas.
"Pegawai bertugas sekatan jalan raya kemudian telah mengeluarkan kompaun ke atas suspek kerana bertindak ganas secara tiba-tiba memarahi dengan mengeluarkan kata-kata kesat, bertindak agresif serta menghina dengan berkata 'You are stupid and blind police officer' kepada pegawai bertugas.
"Ekoran itu suspek telah ditangkap dan dibawa ke IPD Port Dickson untuk tindakan lanjut," katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan.
ARTIKEL BERKAITAN Kedai emas sesak: Apa jadi dengan penjarakan sosial?