Sesi santai bincang isu bola sepak negara

Iklan
Reezal (dua kanan) ketika mengadakan perbincangan dengan Hamidin hari ini. Foto: FB Reezal Merican Naina Merican

SATU sesi perbincangan santai mengenai perkembangan perancangan bola sepak negara dan Liga Malaysia (Liga-M) semasa dan pasca Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berlangsung hari ini.

Sesi itu melibatkan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dengan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin turut dihadiri Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam dan Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan.

Iklan
Iklan

Menurut Reezal antara perkara yang dibincangkan adalah kaedah dan masa terbaik untuk mengemukakan cadangan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi memohon kelonggaran khas bagi skuad kebangsaan dan pasukan saingan Liga-M dapat memulakan latihan secara berperingkat.

"Umpamanya seperti latihan secara 'non-contact' dahulu, mengambil kira juga kaedah oleh negara luar lain," jelas Reezal menerusi akaun Facebook miliknya, hari ini.

Iklan

Terdahulu, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan FAM dan MFL boleh menghantar permohonan serta prosedur operasi standard (SOP) untuk menyambung semula Liga-M sekiranya PKPB ditamatkan pada 9 Jun ini.

Saingan Liga-M ditangguhkan sejak 16 Mac lalu akibat pandemik Covid-19, namun FAM dan MFL memberikan bayangan untuk menyambung baki saingan liga secara satu pusingan melibatkan Liga Super dan Liga Premier bermula 1 hingga 27 September depan.

Iklan