RANTAU PANJANG - Pendapatan peniaga di 'syurga' membeli belah di zon bebas cukai Rantau Panjang susut sehingga 90 peratus sejak penularan wabak pandemik koronavirus (Covid-19) melanda negara ini.
Dakwa peniaga, meskipun kerajaan melonggarkan sedikit peraturan dengan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) namun ia masih belum 'kuat' untuk menghidupkan semula aktiviti jual beli di kawasan bebas cukai terkenal berkenaan.
Tinjauan Sinar Harian mendapati hanya 40 peratus sahaja peniaga yang memulakan operasi perniagaan mereka di kawasan berkenaan.
Pengerusi Persatuan Perniagaan Melayu Rantau Panjang, Ramli Abdullah berkata, kebanyakan peniaga di sini 'bertahan' dengan menjual stok-stok lama bagi memastikan kantung kewangan mereka tidak terus 'kempis'.
"Nak ambil stok-stok baru agak susah sejak pintu sempadan Malaysia-Thailand ditutup bagi mengekang penularan Covid-19. Kalau ada pun (stok baru) harga lebih tinggi berbanding sebelum Covid-19," katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.
Menurutnya, kebanyakan peniaga terpaksa meneruskan operasi di musim PKPB bagi memastikan poket mereka terus 'bernafas' untuk menyara keluarga.
"Kebanyakan orang ramai yang datang ke Rantau Panjang ketika ini hanyalah untuk membeli makanan bukan barangan-barangan lain seperti pakaian, periuk, pinggan dan sebagainya," katanya.
Ramli tanpa berselindung mengakui golongan perantau dan pelancong luar menjadi penyumbang utama kepada nadi ekonomi di pekan Rantau Panjang selain penduduk tempatan.
Katanya, setiap kali sambutan Aidilfitri peniaga di sini tidak menang tangan apabila golongan perantau yang pulang ke kampung halaman turut bertandang ke Rantau Panjang untuk membeli-belah sebelum kembali semula ke ibu kota.
"Aidilfitri kali ini tidak sesibuk tahun-tahun sebelumnya malah kami banyak berehat daripada melayan pelanggan. Bagaimanapun kami reda dengan ujian ini dan berharap ia tidak berpanjangan," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Bazar Siti Fatimah, Zamri Idris berkata, beliau menjangkakan kegiatan ekonomi di kawasan berkenaan akan kembali pulih selewat-lewatnya tahun hadapan.
"Mahu atau tidak itulah hakikatnya, kami hanya mampu berdoa wabak ini segera pulih. Agar pintu sempadan kembali dibuka sekaligus kembali merancakkan semua ekonomi di pekan ini," katanya.