SHAH ALAM - Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) tidak boleh dihentikan secara mendadak sebaliknya perlu dibuat secara berperingkat sehingga terdapat penemuan vaksin dan tahap imuniti kelompok masyarakat mencapai peratusan memuaskan iaitu melebihi 50 hingga 60 peratus ke atas.
Pakar Kesihatan Awam (Epidemiologi/Biostatistik) Jabatan Mikrobiologi dan Parasitologi Perubatan Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Malina Osman berkata, perkembangan wabak bertambah baik di negara ini dengan penurunan kes tempatan ke satu angka mungkin memperlihatkan pembukaan semula sektor-sektor lain termasuk gimnasium dan pusat kecergasan, salun serta gunting rambut dengan prosedur operasi standard (SOP) bersesuaian.
Menurutnya, sebagaimana langkah diambil Singapura, negara jiran itu mengumumkan langkah pemutus litar melibatkan tiga fasa dengan fasa pertama bermula 2 Jun ini yang bakal memperlihatkan industri kritikal dibuka semula.
"Lebih ramai individu akan dibenarkan kembali bekerja dengan keutamaan diberikan pada sektor kritikal dan operasi yang melibatkan risiko transmisi jangkitan yang rendah.
"Prasekolah juga dibuka secara berperingkat dan kohort persekolahan dibuka mengikut tahun pembelajaran di mana mereka yang berada pada tahun akhir pembelajaran akan hadir secara harian, yang lain hadir secara mingguan dan bergilir dengan sistem dalam talian dan tuisyen di rumah,” katanya kepada Sinar Harian semalam.
Beliau berkata, Singapura antara negara yang merekodkan bilangan kes kematian terendah iaitu sebanyak 23 kes pada kadar 0.07 peratus.
Meskipun Singapura mencatatkan kes baharu pada kadar tiga angka, namun pola taburan kes baharu dan aktif menurun. Lebih 90 peratus daripada keseluruhan kes adalah dalam kalangan pekerja warga asing.
Beliau berkata, situasi tersebut sama seperti di Malaysia yang bertambah baik dari masa ke masa sejak penularan pandemik itu pada Januari lalu.
Katanya, Singapura membenarkan rumah ibadah melakukan aktiviti secara persendirian manakala menziarahi warga emas dengan had dua pelawat sekali sehari dalam kalangan keluarga terdekat.
Fasa pertama di negara itu, katanya, dijangka mengambil masa beberapa minggu sebelum pemerintah Singapura mengumumkan langkah untuk fasa kedua dan ketiga.
"Langkah yang diambil oleh Singapura secara umum sama dengan kelonggaran yang dikuatkuasakan Malaysia melalui PKPB.
"Situasi wabak di negara kita bertambah baik dengan penurunan kes tempatan ke satu angka dan penurunan kes di Unit Rawatan Rapi (ICU) serta lebih tujuh hari berturut-turut kita mencatatkan kematian sifar.
"Menjelang Jun ini, dijangkakan PKPB diteruskan tetapi terdapat lagi kelonggaran untuk sektor-sektor tertentu beroperasi semula,” katanya.
Beliau tidak menolak kemungkinan besar pelajar pascasiswazah di universiti dan tahun akhir ijazah pertama dibenarkan menyambung pengajian, begitu juga peningkatan bilangan jemaah menunaikan solat Jumaat dan berjemaah di masjid.
Bagaimanapun, katanya, kelonggaran itu tidak seharusnya dilakukan secara mendadak dan semua pihak perlu menyesuaikan diri dengan normal baharu untuk mengekang jangkitan.