MFL tunggu lampu hijau

Iklan
Ab Ghani Hassan

LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) tidak menolak kemungkinan akan menyambung saingan Liga Malaysia (Liga-M) lebih awal sekiranya mendapat lampu hijau daripada pihak kerajaan.

Bagaimanapun Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan berkata, sebarang keputusan hanya akan diputuskan oleh kerajaan dengan mengambil kira keadaan semasa pandemik koronavirus (Covid-19) di negara ini.

Iklan
Iklan

"MFL tidak mahu terburu-buru membuat sebarang keputusan atau memberikan pandangan. Kita sentiasa memantau keadaan semasa wabak ini dan dalam masa sama berhubung dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta pihak berkepentingan.

"Apa yang menjadi keutamaan MFL adalah keselamatan dan kesihatan semua pihak dalam menghadapi wabak Covid-19. Setakat ini perancangan kita masih kekal untuk menyambung saingan liga September nanti berdasarkan pelan asal,” katanya kepada Sinar Harian kelmarin.

Iklan

Terdahulu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meminta Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan MFL mengemukakan permohonan semula untuk menyambung Liga Malaysia (Liga-M) selepas tamat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Menurut Ismail Sabri, pihak kerajaan akan menilai kembali permohonan FAM dan MFL untuk mempercepatkan proses penyambungan saingan Liga-M sama ada sesuai atau sebaliknya sebaik PKPB tamat pada 9 Jun ini.

Iklan

Dalam pada itu, Ab Ghani memaklumkan, MFL sudah bersedia untuk membentangkan perancangan dan SOP yang perlu dipatuhi setiap pasukan terlibat sekiranya saingan liga disambung semula September depan.

Menurutnya, beberapa perkara telah diperhalusi, namun kelulusan tersebut bergantung kepada kata putus pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"SOP telah siap mengambil kira beberapa perkara mengenai keselamatan pasukan, perjalanan ke venue perlawanan dan sebagainya demi memastikan kelancaran saingan liga.

"Mungkin SOP itu akan berubah mengikut keadaan semasa sama ada dilonggarkan atau diperketatkan. Apa jua keadaan kita sudah bersedia membentangkannya bulan depan melalui KBS,” jelasnya.