SEREMBAN -"Kalau boleh saya nak raya dengan mak dengan nenek,” kata Muhamad Mahibur Rahaman Md Mojibur, 9, dan adiknya, Muhamad Shaqibur, 8.
Dua beradik itu antara empat anak yatim yang terpaksa menyambut Aidilfitri di Pusat Jagaan Anak-Anak Yatim Walidaina di Taman Satria Senawang di sini.
Malah ia adalah pengalaman pertama buat mereka beraya tanpa keluarga di sisi.
Ketika ditanya Sinar Harian adakah mereka rindukan keluarga, kedua-duanya hanya mengangguk dengan wajah sayu.
Pengasas pusat jagaan itu, Mohd Zatullah Kamarudin berkata, dua beradik itu sebelum ini tinggal bersama nenek berbangsa India di Sikamat di sini dan tinggal di pusat jagaan berkenaan sejak Oktober tahun lalu.
"Mereka ini anak mualaf. Ayahnya warga Bangladesh meninggal dunia tujuh tahun lalu, manakala ibunya seorang mualaf India.
"Tapi demi memastikan pendidikan agama mereka terjaga, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan(JHEAINS) tempatkan mereka di pusat jagaan ini,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, hampir setiap hari sepanjang bulan Ramadan, dua beradik itu akan menangis kerana rindukan emak dan neneknya.
Bagaimanapun katanya, mereka dibenarkan untuk menghubungi ahli keluarga bagi melepaskan rindu.
"Kesian saya tengok mereka. Kita yang dewasa ini pun mahu beraya dengan keluarga, inikan pula mereka.
"Bagi memastikan anak-anak yatim ini dapat beraya dalam suasana gembira, kita akan sediakan ketupat, rendang dan kuih raya buat mereka,” katanya.
Kata Mohd Zatullah, kebiasaannya penghuni di situ akan pulang ke rumah keluarga masing-masing untuk menyambut hari raya, namun tahun ini merupakan kali pertama ada yang terpaksa beraya di pusat jagaan.
"Tiga daripada mereka yang beraya di sini adalah mualaf. Bagaimanapun kita akan bawa mereka jumpa dengan ahli keluarga masing-masing pada raya nanti bagi melepaskan rindu," katanya.
Selain itu katanya, pusat jagaan itu yang beroperasi sejak tiga tahun lalu mempunyai seramai 11 orang penghuni lelaki berumur antara 8 sehingga 15 tahun.
Bagaimanapun katanya, tujuh daripada mereka telah pulang ke rumah masing-masing pada fasa kedua Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).