KOTA BHARU - Penyokong Kelantan diminta memberikan kepercayaan kepada kepimpinan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) untuk menyelesaikan kemelut yang menyelubungi persatuan itu ketika ini.
Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Rosmadi Ismail berkata, ini kerana kepimpinan KAFA dibarisi mereka yang arif dalam pelbagai bidang yang boleh dimanfaat untuk mencari jalan keluar daripada kemelut tersebut.
"KAFA mempunyai pakar dalam pelbagai bidang sama ada perundangan, perniagaan mahupun tokoh korporat, pada masa inilah semua kepakaran ini harus bergabung," katanya kepada Bernama, di sini hari ini.
Ketika ini, KAFA yang diterajui Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah berdepan kecaman hebat penyokong kerana gagal membawa perubahan kepada pasukan Kelantan yang kini menghadapi masalah kewangan kritikal termasuk tidak mampu membayar gaji semasa pemain.
Selain itu, persatuan juga diarahkan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) agar melunaskan tuntutan tunggakan gaji pemain import sekiranya mahu terus beraksi dalam arena bola sepak.
Situasi semakin buruk apabila Datuk Wan Rakemi Wan Zahari melepaskan jawatan sebagai Pengarah Urusan Team Red Warriors (TRW) Sdn Bhd selaku entiti yang bertanggungjawab mengendalikan pasukan Kelantan FA musim 2020, sekali gus menyaksikan After Image Sdn Bhd sebagai pemegang taruh terbesar dalam TRWSB turut menarik diri sebagai rakan kongsi rasmi pasukan.
Mengulas lanjut, Rosmadi yang juga bekas Naib Presiden KAFA berkata, barisan kepimpinan membuktikan mereka sayangkan bola sepak Kelantan kerana sanggup menawarkan diri serta mengambil risiko untuk mengemudi persatuan tatkala KAFA dilanda pelbagai masalah.
"Macam saya sendiri, apabila saya disebut sebagai calon untuk mengambil alih kepimpinan KAFA tahun lalu, saya awal-awal lagi menolak kerana saya tahu setakat mana kemampuan saya.
"Jadi saya berharap penyokong terus memberi sokongan kepada kepimpinan yang ada, saya yakin mereka takkan lepas tangan,” katanya.
Beliau turut mengakui KAFA mengalami kesukaran mendapatkan pengganti setara bekas presidennya, Tan Sri Annuar Musa yang menyumbang kepada perubahan wajah bola sepak Kelantan untuk muncul sebagai kuasa besar bola sepak negara semasa era kegemilangannya.- Bernama