PH Johor jangan ambil kesempatan

Iklan
Abdullah Husin

JOHOR BAHRU - Pas Johor mengingatkan Pakatan Harapan (PH) Johor supaya tidak mengambil kesempatan dengan menangguk di air yang keroh untuk memecahbelahkan kerajaan Perikatan Nasional Johor dengan kenyataan serta tindakan terbaharu mereka.

Pesuruhjaya Pas Johor, Abdullah Husin berkata, pihaknya amat kesal dan mengecam sekeras-kerasnya sikap PH Johor itu yang dilihat masih dan cuma mementingkan agenda politik semata-mata tanpa mempedulikan kepentingan rakyat.

Iklan
Iklan

"Ini menunjukkan mereka melanggar titah Sultan Johor dalam perasmian sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor 14 Mei lalu supaya tidak menyebarkan virus perpecahan dengan berpolitik serta tidak mempedulikan tentang kepentingan rakyat.

"Ini berbeza dengan Pas Johor. Kita akan terus bekerja dan berusaha bagi memastikan kepentingan kesejahteraan rakyat Johor terbela terutamanya dalam keadaan yang mencabar sekarang," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Iklan

Kelmarin Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub memberi gambaran PH mungkin dapat merampas semula Putrajaya daripada kerajaan Perikatan Nasional sebelum persidangan Parlimen akan datang yang dijangka bermula pada Julai.

Menurut Salahuddin yang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Jeram dan Ahli Parlimen Pulai, gelombang perubahan kemungkinan akan bermula di Johor.

Iklan

DUN Johor mempunyai 56 kerusi dengan 14 kerusi masing-masing dimiliki UMNO dan DAP, Bersatu (11), Amanah (sembilan), PKR, (lima), MIC (dua) dan Pas dengan satu kerusi.

Abdullah berkata, fokus pada ketika ini perlu ditumpukan kepada pembangunan semula Johor pasca bencana wabak koronavirus (Covid-19) yang memberi kesan kepada semua rakyat, negeri dan negara.

Pas Johor katanya, memberikan komitmen untuk terus menyokong kepimpinan Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad untuk memimpin kerajaan Johor di bawah payung pemerintahan dan perkenan Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

"Pas Johor juga memberikan komitmen untuk terus bersama-sama memperkukuhkan lagi kerajaan Perikatan Nasional Johor dengan semangat setiakawan bersama-sama UMNO, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), MCA dan MIC dengan keutamaan diberikan sepenuhnya terhadap kesejahteraan rakyat Johor," katanya.