'Saya pernah ditawar jadi Ketua Menteri Melaka oleh PH'- idris

Iklan
Idris dan Nor Azman nafi akan lompat parti ketika sidang media di sini, hari ini.

Idris nafi ketuai empat lagi ADUN PN sertai pembangkang

MELAKA TENGAH - Bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron menafikan mengetuai empat lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Perikatan Nasional (PN) yang akan menyertai pembangkang dalam masa terdekat.

Idris yang juga ADUN Sungai Udang mendedahkan, semasa peralihan kerajaan Pakatan Harapan (PH) kepada PN, memang ada penawaran untuknya menjadi Ketua Menteri oleh PH, namun beliau tidak berbuat demikian atas nama prinsip.

Menurutnya, beliau menegaskan akan tetap kekal dengan prinsip untuk terus setia bersama UMNO.

"Ketika menjadi pembangkang dan dihimpit kiri dan kanan saya tetap kekal dengan prinsip untuk terus setia bersama UMNO, inikan pula apabila telah bertukar menjadi kerajaan.

"Masa menjadi ketua pembangkang banyak tohmahan dan tak kurang yang menentang saya tapi saya tetap bersama parti dan berfungsi sebagai ketua pembangkang.

"Sekarang saya telah ditawarkan sebagai Exco, tak akan saya nak pindah ke pembangkang sedangkan kita sekarang telah jadi kerajaan. Itu tindakan pendek akal," katanya ketika sidang media di RUTC di Pulau Gadong di sini hari ini.

Hadir sama ADUN Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan.

Idris turut mengingatkan pihak pembangkang agar tidak memainkan isu kononnya ada wakil rakyat PN akan melompat parti.

Menurutnya, ini kerana perkara itu sebenarnya boleh terjadi kepada pembangkang malah tidak menolak kemungkinan sekurang- kurangnya dua wakil rakyat PH negeri ini akan menyertai PN susulan senario politik negara kini.

"Dalam keadaan politik pada hari ini, jangan disibukkan mengenai wakil rakyat PN akan melompat parti, sedangkan hal sama juga boleh terjadi pada pihak pembangkang.

"Sudah banyak contoh termasuk apa yang berlaku terhadap saya. Sebelum ini saya sering bertelagah dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), namun hari ini berada dalam kumpulan sama dan hubungan persahabatan itu semakin akrab," katanya.

Menurutnya, provokasi politik tidak wajar dimainkan pada masa ini dalam keadaan rakyat terkesan dengan pandemik wabak koronavirus (Covid-19).