KUALA LUMPUR -"Arwah tiba-tiba jadi romantis, panggil saya dengan panggilan sayang dengan harapan dapat memujuk supaya lemang yang dimasak, diberi percuma kepada rakan-rakannya, malam tadi,” luah isteri kepada seorang penghantar makanan yang maut dalam kemalangan akibat dilanggar seorang pemandu dipercayai mabuk di Lebuhraya Sultan Iskandar menghala pusat bandar di sini, hari ini
Zahlawati Dahlan, 47, berkata, beberapa jam sebelum kejadian, dia mendapati suaminya, Mohamed Zaili Mohamed, 44, bersungguh-sungguh mahu mengagihkan makanan secara percuma sebelum dia bertolak ke Pantai Dalam.
"Sikap pemurah dia semakin menjadi-jadi seminggu sebelum kemalangan, jika ditegur, saya pula yang dimarahi,” katanya.
Menurutnya, akibat kekangan kewangan yang dihadapi, Zahlawati pernah menegur suaminya itu supaya tidak terlalu bermurah hati namun kini barulah dia sedar arwah suaminya seakan-akan tahu dia akan meninggalkan dunia ini dan berusaha mengumpul pahala sebanyak mungkin.
"Sebelum ini, banyak kali dia tidak ambil upah malah kalau jumpa orang susah, makanan itu akan diberi secara percuma," tambah wanita tersebut.
Menceritakan detik dia mengetahui kejadian kemalangan meragut nyawa lelaki kesayangannya itu Zahlawati berkata, rasa tidak sedap hati menyebabkan dia cuba menghubungi suaminya, selepas jam 1 pagi.
Menurutnya, lima kali panggilan tidak dijawab sehinggalah panggilan yang terakhir yang dijawab oleh orang awam yang memberitahunya dengan menyebut, ' suami kakak dah tak ada, kena langgar’.
Ketika itu kata Zahlawati, betapa luluh perasaannya apabila mengenangkan perubahan sikap suaminya ketika memujuknya malam itu.
Bukan itu sahaja Zahlawati berkata, dia dan anak perempuannya yang berusia enam tahun, hilang tempat bergantung kerana Allahyarham adalah tulang belakang keluarga dalam mencari rezeki.
Zahlawati berharap, keadilan dapat ditegakkan agar supaya tiada lagi mangsa kemalangan akibat pemandu mabuk berlaku di negara ini.
Pagi tadi, seorang penghantar makanan maut selepas motosikal ditunggangnya dirempuh sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Nissan Grand Livina yang disyaki dipandu oleh pemandu mabuk.
Berdasarkan maklumat awal, ketika kejadian pada jam 1.30 pagi itu, mangsa dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Bukit Antarabangsa selepas menghantar makanan yang dijual oleh isterinya.
ARTIKEL BERKAITAN Penghantar makanan maut dirempuh pemandu mabuk