KUALA LUMPUR - Seorang anggota tentera yang menunggang motosikal maut selepas digilis lori dalam kemalangan melibatkan lima kenderaan di kilometer 44.1 Lebuhraya Shah Alam (Kesas) di sini hari ini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Norazam Khamis berkata, mangsa yang maut dikenali sebagai Omar Abd Rahman berusia 39 tahun.
Iklan
Iklan
Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.58 pagi tadi sebelum sepasukan enam pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya dikerahkan ke lokasi kejadian.
"Kemalangan melibatkan lima kenderaan iaitu tiga lori, sebuah kereta dan sebuah motosikal manakala mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.
"Mayat mangsa yang berada di bawah lori kemudiannya telah dikeluarkan pihak bomba untuk diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya kepada Bernama hari ini. - Bernama