Kastam rampas rokok seludup bernilai RM9.08 juta

Iklan
Kastam berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan rokok bernilai RM9.08 juta dalam serbuan di Pelabuhan Pasir Gudang, Johor pada Khamis lalu.

PASIR GUDANG - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mematahkan kegiatan penyeludupan rokok bernilai RM9.08 juta susulan penahanan dua buah kontena di Pelabuhan Pasir Gudang, di sini pada Khamis lalu.

Penolong Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan), Datuk Johari Alifiah berkata, pembongkaran ini dilakukan sepasukan Unit Siasatan Frod Perdagangan (USFP) JKDM dengan kerjasama Cawangan Narkotik JKDM.

Iklan
Iklan

"Pemeriksaan di dalam kontena terbabit menemui 17 juta batang rokok berjenama Zon King dan U2.

"Bagi mengaburi pihak berkuasa, sindiket telah mengikrar barangan di dalam kontena terbabit sebagai barang aluminium yang diimport dari Ho Chi Minh City, Vietnam," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Iklan

Beliau berkata, siasatan awal mendapati syarikat pengimport tidak mempunyai permit import yang sah selain kontena terbabit telah tiba di Pelabuhan Pasir Gudang, Johor pada 23 Mei lalu.

Johari berkata, siasatan ke atas syarikat pengimport sedang giat dilakukan dan dalang di sebalik sindiket ini sedang dikesan.

Iklan
Kastam berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan rokok bernilai RM9.08 juta dalam serbuan di Pelabuhan Pasir Gudang, Johor pada Khamis lalu.

"Sehingga kini hanya syarikat perkapalan telah disoal siasat bagi membantu siasatan.

"Kes ini sedang disiasat di bawah Akta Kastam 1967 dan Akta Eksais 1976," katanya.

Katanya, sehubungan dengan itu orang ramai digesa membantu pihak kastam memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain serta dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti tersebut.

"Penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi kehilangan hasil, malah ianya turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat," katanya.