KUANTAN - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bahagian Indera Mahkota membantah pemecatan enam pemimpin parti terbabit penghujung Mei lalu.
Pemangku Ketuanya, Abdullah Bohari Mansor berkata, 'pemecatan' itu adalah tidak sah, berniat jahat dan melanggar perlembagaan parti.
Menurutnya, pihaknya menyokong dan mempertahankan sepenuhnya Tun Dr Mahathir sebagai Pengerusi Bersatu.
"Selain itu, kami mengiktiraf, menyokong dan mempertahankan Mukhriz, Syed Saddiq, Dr Maszlee dan Marzuki mengikut perlembagaan malah tindakan Setiausaha Kerja Bersatu, Kapten B Muhammad Suhaimi Yahya mengeluarkan dan menandatangani surat pemecatan adalah satu tindakan biadab, kurang ajar serta berniat jahat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Antara pemimpin tertinggi yang disingkirkan ialah Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad; Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Ketua Armada Bersatu, Syed Saddiq Syed Rahman, Ahli Majlis Tertinggi Bersatu, Dr Maszlee Malik serta Datuk Ir Amiruddin Hamzah dan Setiausaha Agong Bersatu, Datuk Senator Marzuki Yanya.
Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini berkata, lima pemimpin Bersatu termasuk Dr Mahathir Mohamad bukan dipecat sebaliknya keahlian mereka terhenti serta-merta kerana melanggar perlembagaan parti.
Sementara itu, Abdullah Bohari dalam kenyataan sama turut menggesa Setiausaha Kerja Bersatu, Muhammad Suhaimi Yahya bukan hanya dipecat jawatannya tetapi turut digugurkan daripada keahlian Bersatu.
"Kami percaya ada tangan-tangan ghaib yang mengarahkan beliau (Muhammad Suhaimi) berbuat demikian," katanya.
Dalam pada itu, Abdullah Bohari menuntut supaya semua ahli Bersatu kembali kepada matlamat dan perjuangan asal parti.