IPOH - Penduduk Taman Silibin Indah di sini mengharapkan kerajaan mengambil tindakan serta tidak memilih kasih dalam isu hakisan tanah berhampiran kediaman mereka kerana masih tiada tindakan susulan sejak 17 hari yang lalu.
Seorang penduduk, Mohammad Rosli Mohammad Ginda, 57, berkata, tiada sebarang tindakan susulan dibuat sejak beberapa agensi datang meninjau keadaan hakisan tersebut pada 14 Mei lalu sedangkan hakisan masih berlaku.
Menurutnya, layanan diberikan kepada mereka tidak seperti diterima penduduk di Taman Kelab Ukay, Ampang, Selangor di mana masalah dihadapi diselesaikan segera apabila agensi dan menteri turun padang.
"Kami di sini rasa dipinggirkan kerana masalah hakisan tanah yang berlaku hampir sama dengan situasi di Selangor tetapi sekali sahaja agensi kerajaan yang datang dan tak ada wakil kerajaan pun yang tengok masalah ini.
"Kami juga pembayar cukai setiap tahun. Jadi kami harap tindakan susulan segera dilakukan untuk elak kejadian lebih buruk berlaku," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di rumahnya di Taman Silibin Indah di sini hari ini.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelapang, Cheah Pou Hian.
Menurutnya, kira-kira 10 rumah di taman perumahan tersebut terjejas akibat hakisan tanah tersebut.
Seorang lagi penduduk, Mejar (B) Mosses James, 57, berkata, dia tinggal di taman perumahan itu sejak 2015 selepas bersara sebagai penjawat awam.
Menurutnya, keadaan yang dihadapi penduduk akibat hakisan tersebut sangat membimbangkan kerana pergerakan tanah masih lagi berlaku.
"Kita harap kerajaan negeri dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengambil berat masalah yang dihadapi penduduk kerana semakin lama semakin bahaya," katanya.
Sementara itu, Pou Hian berkata, pihaknya sedia maklum tentang keadaan itu malah pernah berhasrat mengaturkan pertemuan di antara penduduk dan agensi berkaitan, namun tiada mendapat maklum balas daripada pihak berkaitan.
Menurutnya, kerajaan negeri dan agensi berkaitan perlu bertindak segera sebelum ada nyawa terkorban akibat kejadian tersebut.
Masalah dihadapi penduduk sebelum ini disiarkan Sinar Harian pada 14 Mei lalu kerana rumah mereka berisiko untuk didiami selepas berlakunya gelongsoran tanah akibat hujan lebat.
Kejadian tersebut turut mendapat perhatian Pejabat Daerah dan Tanah Kinta, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Jabatan Kerja Raya.