APM paling banyak terima kes tangkap ular

Iklan
Fazlisyah (kanan) sentiasa memastikan anggota APM Negeri Sembilan memberi perkhidmatan terbaik kepada orang awam.

SEREMBAN – Tangkap ular adalah kes yang paling banyak diterima oleh Angkatan Pertahanan Awam (APM) Negeri Sembilan, kata Pengarahnya, Leftenan Kolonel (PA) Fazlisyah Muslim.

Menurutnya, daripada 9,739 kes kecemasan yang diterima, sebanyak 4,146 laporan membabitkan kes tangkapan ular.

Iklan
Iklan

Justeru itu, katanya, anggota yang diberi tugasan perlu menjalani latihan terlebih dahulu selain yakin mampu berdepan dengan reptilia berkenaan.

"Sebab itu juga kita serahkan kepada pegawai di setiap daerah untuk tentukan anggota mana yang boleh terlibat dalam operasi.

Iklan

"Kalau anggota itu kurang yakin dalam tugasan diberi, mereka perlu ditukarkan dengan anggota lain walaupun secara dasarnya kesemua mereka sudah mengikuti kursus mengendalikan haiwan berbisa,”katanya.

Beliau berkata, perkara tersebut penting bagi mengelakkan risiko kerana dengan kecuaian kecil boleh mendatangkan cedera ataupun maut.

Iklan

"Jika anggota kita ada kemahiran tinggi tangkap ular sekalipun, tapi kita akan pastikan juga mereka ikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

"Mereka perlu pakai sarung tangan dan guna peralatan mencukupi,” katanya.

Jelasnya, kes menangkap ular biasanya tertumpu di kawasan perumahan sama ada di kampung atau di taman.

Tambahnya, kesemua haiwan yang ditangkap itu kemudiannya akan diserahkan kepada kepada Jabatan Perhilitan.

Dalam pada itu, Fazlisyah berkata, kes-kes lain yang dikendalikan APM termasuk memusnahkan sarang serangga (1,705), lain-lain kes (1,603), kemalangan jalan raya (1,242), sakit (1,002) dan selebihnya kes bunuh diri, mangsa lemas dan kemalangan tempat kerja.