SHAH ALAM - Pendirian Kerajaan berhubung isu pemandu mabuk nyata dipandang serius apabila Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengarahkan Kementerian Pengangkutan agar merangka pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) supaya hukuman lebih berat dikenakan terhadap individu yang disabitkan dengan kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah.
Perdana Menteri berkata, beliau memandang berat bilangan kes kemalangan jalan raya akibat pemandu mabuk yang dilihat semakin membimbangkan sejak kebelakangan ini.
"Sebagai ketua kerajaan yang juga seorang bapa, saya memahami keresahan rakyat dan keluarga mangsa kemalangan yang mahu kerajaan bertindak tegas menangani perkara ini.
"Saya difahamkan pindaan akta ini akan dimuktamadkan pada pertengahan Jun depan sebelum dibawa ke Dewan Rakyat untuk dibentangkan pada persidangan akan datang,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook Sabtu lalu.
Dalam pada itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Takiyuddin Hassan berkata, langkah segera yang akan diambil ialah memastikan cadangan pindaan Akta 333 yang dimuktamadkan oleh Kementerian Pengangkutan dibawa ke persidangan Parlimen dalam masa terdekat.
Katanya, antara pindaan yang dibuat bukan sahaja membabitkan peruntukan berkaitan memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan kecederaan atau kematian, iaitu Seksyen 44 (Akta 333) tetapi juga memandu bawah pengaruh minuman yang memabukkan mengikut Seksyen 45 akta sama, walaupun tidak terlibat dalam apa-apa kemalangan.
"Kerajaan juga amat menyokong cadangan Kementerian Pengangkutan untuk menetapkan hukuman penjara mandatori ke atas pemandu yang ditahan kerana memandu dalam keadaan mabuk (Seksyen 45), mengikut peruntukan sedia ada masih merupakan kuasa budi bicara (discretionary power) mahkamah.
"Dengan meningkatkan kadar denda dan hukuman penjara, Jabatan Peguam Negara, selepas pindaan dibuat, boleh mendakwa pesalah di Mahkamah Sesyen yang mempunyai bidang kuasa yang lebih tinggi," katanya.
Sementara itu, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dalam kenyataannya berkata, kementeriannya bersedia meminda Akta 333 supaya hukuman lebih berat dikenakan terhadap pemandu mabuk yang menyebabkan kematian atau kecederaan pengguna jalan raya yang lain.
Katanya, Jabatan Pengangkutan Jalan telah diarah untuk meneliti semula akta tersebut dengan melibatkan pelbagai pihak berkepentingan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Peguam Negara dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS).
"Saya ingin menegaskan kepada pemandu agar tidak memandu apa jua jenis kenderaan sekiranya berada dalam keadaan mabuk sebaliknya gunakan perkhidmatan teksi atau e-hailing.
"Ini sekali gus dapat mengelakkan kejadian yang tidak diingini seperti kemalangan jalan raya khususnya melibatkan kematian pengguna jalan raya yang lain," katanya.