KOTA TINGGI - Seorang lelaki di Felda Air Tawar 2 di sini, sanggup mengabadikan hidupnya menjaga adik dan abangnya yang kurang sihat.
Mohd Fauzi Kadir, 49, berkata, selain perlu menjaga adiknya, Mohd Fadil, 34, yang merupakan orang kurang upaya (OKU), dia kini menjaga abangnya, Farid, 50, yang sudah sebulan terlantar akibat sakit urat saraf dialami.
Menurutnya, abangnya yang masih bujang kini hanya mampu terlantar selepas doktor mengesahkan urat sarafnya sudah mati.
"Sebenarnya dulu abang yang menjaga adik OKU di rumah pusaka arwah mak dan abah. Namun sejak kesihatannya kurang baik, saya antara adik beradik terdekat mengambil alih menjaga adik dan abang.
"Abang alami sakit saraf ini berpunca akibat terjatuh selain kerap terlibat dengan kemalangan sebelum ini. Satu hari abang mengadu sakit pinggang jadi saya bawa dia ke hospital dan selama lapan hari ditahan, kakinya tidak dapat bergerak ekoran gangguan urat saraf,” katanya.
Mohd Fauzi berkata, sejak abangnya terlantar segala kelengkapan dan keperluan abang termasuklah menukar lampin pakai buang dilakukannya sendiri.
Katanya, keadaan kesihatan menimpa abangnya turut mendapat perhatian masyarakat kampung apabila ramai yang menghulurkan bantuan.
"Buat masa ini saya bergantung kepada hasil sawit. Saya pun tak boleh nak bekerja kerana baru lepas kemalangan keadaan kesihatan tidak mengizinkan. Tambahan pula saya tak boleh tinggalkan abang dan adik sendirian di rumah,” katanya.
Katanya, kini dia dalam proses untuk memohon bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Baitulmal.
Orang ramai yang ingin membantu boleh salurkan ke akaun Bank Islam 01162020559625 Mohd Fadil Kadir atau hubungi talian 0197300217.