75 warga asing ditahan

Iklan
Anggota penguat kuasa melakukan operasi di sekitar Subang Jaya.

SUBANG JAYA - Seramai 75 warga asing ditahan dalam Operasi Pemeriksaan Premis Perniagaan dan Warga asing Tanpa Izin, di beberapa lokasi di sini, baru-baru ini.

Operasi bersepadu oleh Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dan Jabatan Imigresen Selangor itu dijalankan bermula jam 5 pagi melibatkan kawasan Pasar Awam MPSJ SK 10, Seri Kembangan, Pusat Perniagaan Maju Jaya, Taman Puchong Utama serta Pusat Perniagaan Lagoon Perdana PJS 9, Bandar Sunway.

Iklan
Iklan

Timbalan Pengarah Korporat, Jabatan Korporat Dan Pengurusan Strategik MPSJ, Azfarizal Abdul Rashid berkata, tangkapan ke atas 75 warga asing tersebut membabitkan 58 lelaki dan 17 wanita.

Beliau berkata, kesemua yang ditahan tidak memiliki permit dan dibawa ke lokap sementara Pejabat Imigresen Selangor, Kompleks Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Shah Alam untuk tindakan selanjutnya.

Iklan

Dalam operasi sama katanya, sebanyak lima premis ditutup.

"Empat premis ditutup mengikut Undang-Undang Kecil 62, Undang-Undang Kecil Pelesenan Establisymen Makanan (MPSJ) 2007 kerana melanggar syarat lesen dengan menggaji pekerja asing tanpa permit yang sah.

Iklan

"Sebuah premis lagi ditutup mengikut Undang-undang Kecil 42 Undang-Undang Kecil Pusat Kecantikan dan Penjagaan Kesihatan kerana beroperasi tanpa lesen oleh warga asing tanpa permit,” katanya.

Menurutnya, lapan premis turut disita kerana melanggar syarat lesen ditetapkan.

"Dua kompaun juga dikeluarkan mengikut Undang-Undang Kecil 3 Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred Perniagaan dan Perindustrian (MPSJ) 2007 serta Undang-Undang Kecil 3 Undang-Undang Kecil Pusat Siber dan Siber Kafe (MPSJ) 2007 kerana beroperasi tanpa lesen,” katanya.

Azfarizal berkata, operasi bersepadu itu akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan peraturan dipatuhi oleh para peniaga.

Menurutnya, MPSJ berharap semua peniaga dapat mematuhi peraturan yang telah ditetapkan bagi mengelakkan tindakan penguat kuasaan dikenakan terhadap mereka.