Melaka banyakkan kolam takungan air di taman perumahan

Iklan
Idris (kiri) meninjau salah satu sungai yang tercemar akibat aktiviti pembuangan sampah-sarap selepas sidang akhbar mengenai isu pencemaran sungai dan banjir di Klebang hari ini. - Foto Bernama

MELAKA TENGAH - Pembinaan kolam takungan air di taman perumahan khususnya di kawasan berisiko banjir kilat akan diperluas sebagai antara inisiatif pengurusan bencana yang lebih efektif di negeri ini di bawah Program Mitigasi Banjir.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Daerah, Luar Bandar dan Pengurusan Banjir Melaka, Datuk Seri Idris Haron berkata, langkah itu sudah dilaksanakan di beberapa taman perumahan dan ia dilihat berjaya mengatasi bencana itu.

Iklan
Iklan

"Kita akan minta pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk segera mengenal pasti kawasan tanah lapang di bawah bidang kuasa mereka untuk membina kolam takungan air dan setakat ini perkara itu telah pun dibincangkan bersama dengan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).

"Sebanyak 264 lokasi berisiko banjir kilat dikenal pasti di daerah Melaka Tengah, manakala daerah Jasin dan Alor Gajah masih dalam penelitian.

Iklan

"Kolam ini bukan sahaja lebih efektif bahkan mudah dibangunkan kerana kerja-kerja pembinaannya tidak melibatkan kos yang tinggi," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata, keseluruhan lokasi berisiko banjir kilat sedang dikenal pasti dan akan dimuktamadkan jumlahnya bagi memastikan pelaksanaan pengurusan banjir dapat diintegrasikan antara agensi pelaksana seperti PBT dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) agar penyelesaian isu berkenaan dapat dicapai.

Iklan

Idris berkata selain itu, PBT dan Jabatan Kerja Raya (JKR) perlu memastikan semua longkang berfungsi dengan baik dan tiada halangan seperti sampah-sarap atau batu besar yang menjadi punca utama kebanyakan kejadian banjir di Melaka.

Menurut beliau, antara punca kolam takungan air di Taman Semabok Perdana dipenuhi bunga pokok keladi bunting baru-baru ini dipercayai akibat penyelenggaraan kurang berkesan, bagaimanapun isu itu dianggap selesai kerana kolam berkenaan sudah dibersihkan JPS.

Sementara itu, Idris yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang berkata, dakwaan kononnya beliau mengetuai lima ADUN yang bakal menyertai pembangkang sengaja dimainkan sesetengah pihak bagi melemahkan kekuatan Perikatan Nasional (PN) serta menimbulkan rasa marah dalam kalangan rakyat. - Bernama