Hydroxychloroquine terus jadi kontroversi

Iklan
Kebanyakan negara mempunyai pendapat yang berbeza tentang penggunaan hydroxychloroquine. - Foto AFP

DILARANG di beberapa negara, tetapi digunakan di negara lain. Percanggahan pendapat tentang penggunaan ubat antimalaria, hydroxychloroquine yang dikatakan berpotensi membantu merawat koronavirus (Covid-19) terus menjadi pertikaian di seluruh dunia.

Saintis yang bertungkus-lumus mencari ubat berlesen untuk menggunakannya kembali sebagai rawatan Covid-19 telah memulakan ujian klinikal ke atas hydroxychloroquine yang biasanya digunakan untuk merawat artritis dan chloroquine, antimalaria.

Iklan
Iklan

Kedua-dua ubat itu boleh menghasilkan kesan sampingan yang berpotensi serius terutamanya aritmia jantung dan ia menyebabkan banyak pakar memberi amaran terhadap penggunaannya di luar ujian klinikal.

Bagaimanapun, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump tidak berganjak daripada pendiriannya yang tetap menyokong hydroxychloroquine meskipun kekurangan bukti keberkesanannya.

Iklan

Pertikaian itu dihangatkan lagi dengan terbitan sebuah kajian jurnal perubatan oleh The Lancet pada 22 Mei lalu yang menunjukkan bahawa hampir 100,000 pesakit yang disahkan positif Covid-19 tidak mendapat sebarang manfaat dengan dua ubat tersebut, malah ia meningkatkan kemungkinan mereka meninggal dunia di hospital.

Ia kemudiannya mendorong Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menangguhkan ujian klinikal hydroxychloroquine, namun sejak itu, puluhan saintis tampil menyuarakan kebimbangan mereka mengenai metodologi kajian tersebut.

Iklan

The Lancet mengemas kini sebahagian data tetapi penyelidik tetap dengan kesimpulan mereka dan negara-negara di seluruh dunia juga mempunyai pendapat berbeza mengikut polisi mereka sendiri.

Diharamkan

Kajian The Lancet membuatkan beberapa buah negara menghentikan penggunaan hydroxychloroquine.

Hampir 100,000 pesakit yang disahkan positif Covid-19 tidak menunjukkan manfaat selepas diberikan hydroxychloroquine dan chloroquine. - Foto AFP

Pada 27 Mei lalu, Perancis membuat keputusan sama beberapa hari selepas doktor kontroversi tempatan, Didier Raoult menolak kajian komprehensif The Lancet dan tetap yakin bahawa ubat itu dapat membantu pesakit pulih daripada wabak tersebut.

Negara-negara lain termasuk Itali, Mesir, Tunisia, Colombia, Chile, El Salvador, Cape Verde, Albania dan Bosnia Herzegovina turut melarang penggunaan hydroxychloroquine untuk pesakit Covid-19 meskipun Itali mungkin meneruskan kajian klinikal.

Berbeza dengan Hungary, ubat itu tidak digunakan kepada pesakit yang baharu didiagnosis sebaliknya diteruskan untuk pesakit yang telah pun memulakan pengambilannya.

Difahamkan, sebelum kajian tersebut diterbitkan, beberapa negara sudah pun menghentikan penggunaan hydroxychloroquine untuk pesakit Covid-19.

Pada tahap awal pandemik, Sweden menggunakan ubat sama untuk merawat pesakit dengan gejala yang teruk tetapi menghentikan penggunaannya pada April lalu selepas Agensi Ubat Eropah mencadangkan ia hanya digunakan dalam ujian klinikal.

Penggunaan diteruskan

Beberapa negara terus menggunakan hydroxychloroquine bagi menentang koronavirus.

Ia termasuk Brazil, Algeria, Maghribi, Turki, Jordan, Romania, Portugal, Kenya, Senegal, Chad dan Republik Congo.

Di negara Asia Tenggara, Thailand juga masih masih menggunakan hydroxychloroquine untuk merawat pesakit Covid-19, manakala penggunaan ubat tersebut masih diteruskan di India dan Venezuela sebagai langkah pencegahan.

Menteri Kesihatan El Salvador, Francisco Alabi (kanan) memantau pengedaran hydroxychloroquine di Hospital San Salvador. - Foto AFP

Di AS, hydroxychloroquine pada prinsipnya hanya diberikan kepada pesakit Covid-19 di hospital tetapi Pentadbiran Makanan dan Dadah (FDA) pada April lalu memberi amaran bahawa ubat itu berpotensi memberi bahaya kepada jantung.

Kajian The Lancet menyebabkan penangguhan penggunaan hydroxychloroquine dalam beberapa ujian klinikal termasuk Ujian Solidariti WHO dan program Penemuan Eropah yang diselaraskan oleh institut penyelidikan Inserm dari Perancis.

Ujian antarabangsa Copcov juga menangguhkan dos hydroxychloroquine untuk kakitangan perubatan yang dijangkiti virus.

Bagaimanapun, ujian klinikal lain masih berjalan. Sebagai contoh di Britain, di McGill University di Kanada, Nigeria dan Mexico.

Di negara yang menjadi tempat awal pandemik iaitu China, hydroxychloroquine hanya digunakan dalam ujian klinikal tetapi ia berpotensi sebagai rawatan dan dianggap terjamin oleh Universiti Wuhan pada Februari lalu. - AFP