PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini mengumumkan pembatalan tiga pertandingan di bawah kelolaannya iaitu Piala Presiden, Piala Belia dan Liga Futsal Perdana Malaysia (MPFL) bagi musim 2020 berikutan pandemik Covid-19.
Justeru, semua keputusan perlawanan yang berlangsung sebelum ditangguhkan pada 16 Mac lalu adalah dibatalkan membabitkan perlawanan setakat Hari Perlawanan 4 bagi Piala Presiden, Hari Perlawanan 5 bagi Piala Belia dan hari Perlawanan 1 bagi MPFL.
Malah, tiada pasukan yang bergelar juara bagi ketiga-tiga pertandingan untuk musim 2020 dan pertandingan dimulakan semula untuk musim baharu 2021 pada awal tahun depan.
Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata, keputusan itu terpaksa dibuat kerana bola sepak dikategorikan sebagai sukan bersentuhan, manakala futsal selain bersentuhan, ia juga dijalankan dalam kawasan tertutup, iaitu tergolong dalam antara aktiviti dilarang oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) buat masa ini.
Beliau berkata, sama ada tempoh PKPB akan berakhir pada 9 Jun ini atau dilanjutkan, FAM terpaksa membuat keputusan berkenaan dan tidak boleh menunggu atau menangguhkan keputusan kerana menjejaskan kedudukan pemegang taruh yang terlibat.
"Keputusan ini dibuat selepas FAM melakukan kajian, penelitian dan siri perbincangan dalaman, selain memperhalusi garis panduan MKN dan SOP (prosedur operasi standard) serta nasihat dan pandangan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
"Oleh yang demikian, setelah mengambil kira hal-hal pengoperasian dan kebajikan semua pemegang taruh industri bola sepak dan futsal, FAM dengan berat hati membuat keputusan untuk membatalkan terus pertandingan Piala Presiden, Piala Belia dan MPFL bagi musim 2020 ini berkuat kuasa serta-merta,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kesemua aktiviti dan pertandingan bola sepak dan futsal ditangguhkan sejak 16 Mac lalu susulan penularan wabak Covid-19.
Dalam pada itu, Stuart berkata, FAM dan MFL membuka pendaftaran khas untuk pemain Piala Presiden dan Piala Belia 2020 yang berpotensi diserap ke pasukan utama kelab mereka bagi mendapatkan peluang beraksi pada baki saingan Liga Super dan Liga Premier musim ini.
Bagi menjamin kesinambungan kerjaya pemain berusia 21 tahun pula, Stuart berkata, FAM menaikkan had umur Piala Presiden 2021 kepada 22 tahun, sekali gus membolehkan pemain yang lahir pada tahun 1999 masih layak beraksi pada saingan musim depan. - Bernama